Tuesday, 19 November 2013

Perkahwinan menurut Al-Quran dan Al-Sunnah [sambungan]


                                                                                                                                                                   
          Semasa perkahwinan dan selepas perkahwinan
           Semasa melangsungkan perkahwinan, majlis yang baik adalah majlis yang sederhana dan tidak riak. Ini kerana majlis yang terlalu mewah dan sebagainya akan menggalakkan pembaziran. Pembaziran merupakan salah satu daripada sifat syaitan yang tidak disukai oleh Allah. Secara tidak langsung akan mengurangkan pahala perkahwinan dan memperbanyak amalan maksiat sekiranya perkahwinan berunsurkan hiburan semata-mata. Suatu majlis yang baik sepatutnya diiringi dengan zikrullah dan tasbih serta qasidah-qasidah yang memuji Allah S.W.T. Di samping itu, semasa perkahwinan pasangan perlulah memakai pakaian yang menutup aurat dan mengelakkan budaya daripada luar seperti memakai gaun, memakai skirt dan sebagainya yang mengundang kepada kemaksiatan.
   Manakala selepas majlis perkahwinan, pasangan perlulah menjalankan tanggung jawab sama ada sebagai suami mahupun sebagai isteri. Sebagai seorang suami, perlulah menyediakan segala keperluan asas seperti rumah, pakaian, makanan dan keperluan yang difikirkan perlu kepada isteri. Seterusnya, suami perlulah sentiasa menyayangi isteri dan mengelakkan kekasaran sama ada berbentuk lisan ataupun fizikal. Suami mestilah bertimbang rasa dalam setiap tindakan yang diambil dan perlulah berbincang terlebih dahulu dengan isteri. Namun tanggung jawab yang paling utama adalah membimbing isteri supaya sentiasa mentaati perintah Allah dan Rasulnya, memberikan tunjuk ajar dan sebagainya di samping memberikan teladan yang baik kepada isteri.
    Disebalik tanggung jawab seorang suami, seorang isteri juga perlu menjalankan tanggung jawabnya kepada suami terutamanya mentaati suami selagi tidak bercanggah dengan ajaran Islam. Isteri juga perlu menjaga kehormatan suami walau di mana sekalipun dan meminta keizinan terlebih dahulu daripada suami sebelum melakukan sesuatu. Isteri juga perlu menyiapkan pakaian suami, makanan suami dan menjaga harta suami dengan sebaiknya agar rumah tangga sentiasa harmoni dan kekal bahagia.
                                                                
          Hikmah melangsungkan perkahwinan
    Perkahwinan merupakan tuntutan Al-Quran dan As-Sunnah berdasarkan kepada nas-nas dan dalil-dalil yang sahih. Pensyariatan perkahwinan sebenarnya mempunyai banyak manfaat dan kebaikan kepada setiap umat Islam. Hikmah perkahwinan sebagaimana yang disabdakan oleh junjungan Nabi Muhammad S.A.W adalah untuk memelihara iman dalam hadis yang diriwayatkan oleh Al-Baihaqi r.a yang bermaksud;
”Apabila telah berkahwin seseorang hamba itu, maka ia telah memenuhi separuh agamanya, maka bertaqwalah kepada Allah pada separuh yang belum disempurnakan lagi.”
    Memelihara iman adalah suatu kemestian kepada setiap umat islam maka dengan perkahwinan akan dapat mengelakkan daripada perkara-perkara yang boleh menjatuhkan iman seseorang seperti melakukan zina, sumbang mahram, mengauli pelacur dan lain-lain dek kerana tuntutan hawa nafsu yang sememangnya merupakan fitrah penciptaan manusia. Sebagaimana sabda di atas secara amnya perkahwinan adalah separuh daripada kehidupan sebagai seorang muslim yang sejati dan separuhnya merupakan amalan-amalan dan tuntutan agama yang lainnya. 
    Selain itu, hikmah perkahwinan yang kedua adalah untuk manyahut seruan dan sunnah nabi dan rasul-rasul sebelum junjungan Nabi Muhammad S.A.W yang mahukan semua umatnya agar melangsungkan perkahwinan. Perkahwinan sebagaimana yang diterangkan oleh Nabi Muhammad dan para rasul sebelumnya perlulah berdasarkan kepada apa yang ditunjukkan oleh Nabi kerana sebab utama mereka diutuskan adalah untuk menjadi contoh dan teladan kepada umat manusia. Seruan untuk melangsungkan perkahwinan dibuktikan dengan hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah yang bermaksud;
    “Perkahwinan itu adalah sunnahku, sesiapa yang tidak mengikut sunnahku maka bukanlah dia daripada golongan umatku.”

  Sehubungan dengan itu, perkahwinan merupakan salah satu cara di dalam islam untuk mencapai ketenangan dan ketenteraman hidup. Ketenangan tersebut lahir melalui ikatan kasih sayang yang menyuburkan rasa cinta dalam diri setiap insan. Perasaan cinta sedemikian akan memberikan kebahagiaan kepada pasangan suami dan isteri. Allah berfirman dalam surah Ar-Rum ayat 21 yang bermaksud;
“Dan antara tanda-tanda membuktikan kekuasaan dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai Adam) isteri-isteri dari jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra bersamanya, dan jadikanlah antara kamu perasaan cinta dan kasih sayang.”
    Melalui perasaan cinta dan kasih sayang tersebut maka Allah mengurniakan pula dengan kelebihan memiliki zuriat yang sememangnya akan menambahkan lagi kesuburan cinta antara suami dan isteri. Maka hikmah perkahwinan yang sering dikatakan sebagai simbol kasih sayang antara suami dan isteri ialah kurnia zuriat dan keturunan. Melahirkan dan mendidik anak menjadi seorang yang soleh serta bertaqwa kepada Allah merupakan kelebihan kepada pasangan suami isteri sama ada di dunia apatah lagi di akhirat kelak. Baginda Nabi sangat berbangga dengan umatnya yang ramai di samping untuk menganjurkan perkahwinan sebagaimana yang baginda Nabi sabdakan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud yang bermaksud;
“Berkahwinlah kamu dengan wanita yang pengasih dan subur, kerana aku akan berbangga dengan jumlah kamu yang ramai.”.
     Kesimpulannya, perkahwinan sebenarnya mempunyai banyak kebaikan dan hikmah di sebalik amalan terpuji ini. Malah Allah menganggkat darjat umat islam yang menyahut seruan-Nya untuk mendirikan rumah tangga. Semoga amalan perkahwinan berlandaskan kepada Al-Quran dan As-Sunnah dapat kita laksanakan dengan sebaik mungkin untuk mencapai reda Allah dan meraih syafaat junjungan Nabi Muhammad di akhirat kelak.

No comments:

Post a Comment