Friday 22 November 2013

Sungha Jung - Depapepe


                                                                                                                                                         Asalamualaikum..
Lagu atau muzik, saya lebih cenderung memilih muzikal. kadang kala muzik tanpa vokalis lebih menghiburkan dan menyeronokkan. 

Dan antara banyak artis muzikal yang saya ketahui, Sungha Jung tetap dalam senarai teratas. Sebabnya, mungkin saya sudah lama mengikuti perkembangan dan aktivitinya. saya kira sejak 5 tahun lepas saya sudah menjadi salah seorang peminatnya.
Bakat semulajadi (prodigy) yang dimiliki sangat membinarkan dan mengagumkan. Seingat saya semasa kecilnya, dia sudah mampu memainkan pelbagai rentak dan muzik berdasarkan naluri hatinya.

Bahkan, dia mampu memberikan nafas dan hidup baru bagi satu-satu rentak muzik yang dimainkannya mengikut cara dan stail sendiri.
Tidak saya terlupa, dia sejak dari usia yang terlalu muda sudah lincah bermain gitar. Kini beliau sangat dikenali dan masyhur di seluruh dunia kerana kemahirannya yang sangat mempersonakan.
Ok, moga anda juga terhibur dengan persembahannya. SELAMAT MENDENGAR


Tuesday 19 November 2013

Laras Bahasa (Laras Sains)



Laras Bahasa
    Laras bahasa bermaksud gaya atau cara penggunaan khususnya dalam bahasa Melayu. Suatu laras bahasa bermaksud variasi bahasa yang boleh dipilih daripada sekumpulan variasi bahasa atau jenis bahasa yang ada pada setiap pengguna bahasa. Menurut Ure dan Ellis (1977) laras bahasa merupakan jenis-jenis bahasa yang digunakan mengikut situasi yang berlainan. Hilliday pula mendefinisikan laras bahasa sebagai variasi bahasa yang berbeza berdasarkan fungsi dan boleh berubah-ubah mengikut situasi yang berlainan. Penggunaan laras bahasa yang berlainan ditentukan oleh beberapa faktor iaitu ciri-ciri keperihalan sesuatu peristiwa bahasa dan ciri-ciri linguistik yang terdapat dalam mengungkapkan sesuatu idea.
    Menurut Abdullah Hassan bidang sains sosial mencakupi pelbagai cabang iaitu bidang sains politik, antropologi, sosiologi, ekonomi, pengurusan, psikologi sementara sosial kemanusiaan terdiri daripada bidang bahasa, budaya dan sastera. Manakala sains tulen pula terbahagi kepada bahagian-bahagian selain daripada bidang sains sosial seperti fizik, biologi, kimia dan teknologi. 
Ciri Keperihalan
1.    Gaya bahasa yang digunakan khusus untuk ilmu sains tulen dan teknologi.
      Gaya bahasa merujuk kepada pelisanan dan penulisan yang digunakan. Laras sains merupakan laras bersifat ilmiah atau akademik kerana laras sains sering menggunakan istilah-istilah sains untuk tujuan akademik terutamanya menghuraikan dan menerangkan setiap idea yang berunsur teknikal dan fakta jelas dan selalunya berkaitan dengan uji kaji dan penyelesaian masalah. Laras sains menggunakan gaya bahasa yang khusus hanya untuk mengungkapkan istilah-istilah dalam subbidang sains tulen dan istilah-istilah moden yang selalunya berkaitan dengan teknologi baru.
         Contoh: sel-sel kelenjar kolon merembeskan mukus yang berfungsi untuk melancarkan pergerakan kandungan kolon kea rah rektum. Cecair yang dirembeskan bersifat alkali.

            Gaya bahasa laras sains juga dikenali dengan bahasa saintifik kerana laras sains selalunya menggunakan istilah dan nama yang saintifik yang hanya dirujuk dalam ilmu sains dan teknologi.
            Contoh nama saintifik dalam bidang biologi:
                                     I.        Rambutan – Nephelium Lappaceum
                                    II.        Ayam – Gallus-gallus Domestica
                                   III.        Padi – Oryza Sativa
                                  IV.        Katak Puru – Bufo Melanosticus
            Contoh nama saintifik dalam bidang teknologi:
                                     I.        Keyboard – papan kekunci(butang yang mewakili abjad dan nomboryang digunakan untuk memasukkan data ke dalam komputer)
                                    II.        Mouse – tetikus (sejenis peranti komputer yang digunakan untuk mengawal kursor dan untuk memilih objek pada tabir paparan komputer)
                                   III.        Telescope – teleskop(alat yang bentuknya seperti tiub panjang dan mampunyai kanta di dalamnya untuk melihat objek yang sangat jauh misalnya bintang)
                                  IV.        Wallpaper – kertas dinding

2.    Penggunaan istilah atau kata dalam laras ini yang mempunyai ketaksaan yang tinggi kerana laras sains mementingkan ketepatan makna dan faktana laras sains sememangnya menggunakan kosa kata yang tepat, khusus dan teknikal.

Contoh dalam bidang sains kejuruteraan:
                              I.        Resonant cross section - keratan rentas salunan/ keratan lintang salunan
                            II.        Potenziometer solution - meter upaya penyelesaian
                           III.        Rule no later Handcuffs rain - kaedah gari selambat hujan
                          IV.        Equilibrium point - titik keseimbangan


3.    Dibahagikan kepada empat subbidang utama:
a.          Fizik
Sains fizik adalah cabang ilmu yang berkaitan dengan kajian sifat-sifat sesuatu benda, keseimbangan dan pergerakan benda serta sifat alam semula jadi seperti cahaya, kelajuan, kemampatan, suhu, tenaga suria, medan elektronik dan sebagai-sebagainya.
Contoh:
·         Graviti – daya tarikan yang mengerakkan jasad-jasad kea rah pusat sesuatu cakerawala seperti bumi.
·         Zarah – bahagian kecil sesuatu jirim misalnya atom, molekul, elektron.
·         Stereometri – ilmu ukur ruang atau isi padu sesuatu benda pepejal.

b.            Biologi
Biologi pula merupakan subbudang sains yang mengkaji tentang struktur,
fungsi, perkembangan, taburan dan proses dalam hidup pada benda-benda
hidup.
Contoh:
·         Spora - biji-biji sel yang menjadi benih bagi tumbuh-tumbuhan yang tidak berbunga, misalnya cendawan dan kulat.
·         Arteri – saluran darah yang membawa darah yang mengandungi oksigen keluar daripada jantung untuk mengalir ke seluruh badan.
·         Tendon – serat tisu yang kenyal berfungsi untuk menyambungkan otot dan tulang.

c.           Kimia
Merupakan ilmu sains asas yang berkaitan dengan struktur, kelakuan, komposisi, sifat tndak balas yang berkaitan dengan atom, ion, unsur atau sebatian serta fenomena yang menerangkan fenomena kimia.
Contoh:
·         Platinum – unsur logam berharga berwarna putih kekelabuan, tidak boleh calar, dan sering digunakan untuk membuat barang kemas.
·         Morfin – sejenis dadah yang diperoleh daripada candu dan digunakan untuk melegakan kesakitan.
·         Fluorin – gas berwarna kuning pucat menyerupai klorin, berbau sengit dan beracun.
d.    Teknologi
Merupakan kajian yang menggunakan pengetahuan sains untuk tujuan praktis dalam industri, pertanian, perubatan, perniagaan, media massa.
Contoh:
·         Televisyen – alat yang dicipta khusus untuk penyiaran gambar hidup serta berbunyi menerusi kabel udara pada skrin atau kaca peti televisyen.
·         Bateri – dua sel atau lebih yang disusun secara bersiri atau selari untuk menghasilkan daya gerak eletrik.
·         Gigabait – unit data yang bersamaan dengan seribu juta atau 10x9 bait, digunakan bagi menyatakan kemampuan storan pukal seperti cekera keras.
4.    Maklumat berdasarkan kepada hasil kajian dan fakta yang telah dibuktikan melalui uji kaji.
Contoh:
·         Bunyi terhasil melalui getaran yang kemudiannya mewujudkan gelombang bunyi yang bergerak melalui medium seperti udara dan air sebelum sampai ke telinga kita.
·         Kitaran air melibatkan air mengewap (tukar kepada gas), naik ke langit, sejuk dan memekat menjadi titisan hujan atau hablur air batu yang kita lihat sebagai awan, jatuh ke bumi sebagai hujan, salji atau hujan batu sebelum mengewap semula dan meneruskan kitaran.
·         Manusia bernafas mengeluarkan karbon dioksida (CO2). Tumbuh-tumbuhan pula menukarkan karbon dioksida menggunakan cahaya matahari yang kemudiannya menjadi makanan semasa berlakunya proses fotosintesis.
5.    Menggunakan rumus atau formula yang berkaitan dalam bidang sains.
·         Efficiency = Is Vs  x 100 %
            (kecekapan) = Ip Vp X 100%

·         Momentum,p = mv
m=jisim, kg
v­=halaju, ms-1

Ciri Tatabahasa
1.    Morfologi
Dalam laras sains terdapat perkataan yang tergolong dalam kategori Kata Tunggal atau istilah umum tetapi dijadikan sebagai Kata Khusus untuk sesuatu istilah atau ungkapan yang menjurus kepada sains.
Contoh:
·         Tikus – Tetikus
·         Tingkap – Tetingkap
·         Muat turun (download)
·         Layar – Pelayar (browser)
2.    Akronim
Dalam laras sains terdapat kata akronim yang dihkhususkan untuk ungkapan-ungkapan sains yang dan hanya digunakan dalam mengupas dan membincangkan perihal sains. Akronim yang dicipta selalunya digunakan sebagai ringkasan kepada makna akronim yang selalunya panjang dan susah untuk diingati.
Contoh:
·         Li – Litium (symbol kimia bagi sebatian litium)
·         HIV – Human Immunodeficiency Virus (Virus Kurang Daya Tahan Manusia)
·         ASTRO – Autonomous Spaces Transport Robotic Operations (Ruang Autonomi Pengangkutan Operasi Robotik)
·         AIDS – Acquaired Immune Deficiency Syndrome (Sindrom kurang daya tahan penyakit)

3.    Kata Majmuk
Terdapat banyak kata majmuk yang wujud dalam bidang sains dan teknologi yang digunakan khusus.
Contoh:
·         Tabung uji
·         Hala laju
·         Garis lurus

HASAD [pengenalan]




Menurut Kamus Dewan Edisi keempat, hasad didefinisikan sebagai dengki, cemburu (disertai dengan niat jahat) iaitu kedengkian, kecemburuan yang disertai niat jahat. Manakala dari segi istilah pula, hasad benci kepada nikmat Allah SWT yang  bermaksud usaha atau perbuatan seseorang untuk melakukan sesuatu yang boleh menjatuhkan maruah, mengadu domba, menaruh kebencian orang terhadap insan yang dicemburuinya dengan perkara-perkara yang jahat.
  Selain itu, menurut Al-Jurjani Al-Hanafi dalam kitabnya, hasad ialah menginginkan atau mengharapkan seseorang kehilangan nikmat daripada orang yang didengkinya (mahsud) supaya berpindah kepadanya. Selain itu, menurut Imam Al-Ghazali pula, hasad ialah membenci akan nikmat Allah SWT yang dimiliki oleh orang lain serta menyukai sekiranya nikmat tersebut itu hilang dan habis. Sehubungan dengan itu, Sayyid Quthb dalam tafsirnya menyatakan bahawa hasad ialah perbuatan emosional yang berhubungan dengan keinginan agar nikmat yang diberikan kepada seseorang hamba-Nya hilang daripadanya, sama ada hasad tersebut dizahirkan dengan perbuatan dan percakapan atau sekadar tersemat dan terbuku dalam hatinya sahaja.
    Perasaan hasad cenderung ke arah kejahatan dan keburukan kerana tidak senang dengan kelebihan yang dimiliki oleh orang lain sama ada secara jelas atau secara diam-diam mencemburuinya. Sehubungan dengan itu, sifat hasad ini akan menyebabkan seseorang selalu mencari keburukan dan kelemahan orang lain dan menyebarkannya dengan menokok tambah untuk membawa kebencian dan kemarahan orang lain terhadapnya. Sebagaimana keterkaitannya dengan sebuah hadis nabi yang diriwayatkan oleh Muslim dan Abu Hurairah r.a yang bermaksud:
    “Janganlah kamu sekalian saling menghasut, saling membenci, saling memata-matai, saling membuka aib, saling menipu dan saling menjatuhkan, tapi jadilah kamu sekalian hamba Allah yang bersaudara”.
Contoh perbuatan jahat yang boleh menjatuhkan maruah seseorang adalah dengan fitnah, khabar angin yang dibuat-buat, mengumpat dan sebagainya. Selain itu, seseorang yang mampunyai sifat hasad dalam dirinya selalunya berani untuk melakukan perbuatan tidak bermaruah seperti merosakkan sumber kesenangan, mencuri, menghancurkan dan sebagainya supaya dapat memuaskan hatinya dan menyusahkan atau membawa kesulitan kepada seseorang yang dicemburui itu.
    Sifat mazmumah tersebut merupakan perbuatan yang tidak berakhlak dan merupakan penyakit yang terdapat dalam hati seseorang insan di mana sifat ini membawa kepada kebatilan dan laknat Allah S.W.T. Hasad dengki sangat dibenci oleh Rasullah dan rasul-rasul sebelumnya Sifat mazmumah ini akan menyebabkan segala amal kebaikan yang dilakukan akan menjadi sia-sia dan tidak berguna. Rasullah bersabda yang diriwayatkan oleh  Abu Daud, Ibnu Majah dari Abu Hurairah bermaksud;
    ”Janganlah kamu bersikap dengki (hasad), kerana dengki itu melenyapkan kebaikan seperti api yang membakar kayu”    
     Berdasarkan kepada hadis sahih tersebut, jelas sifat hasad membawa kepada kerosakan iman dan taqwa seseorang muslim. Sifat ini akan mendorong kepada kelemahan iman yang menjadi benih kepada perkara-perkara kemungkaran.
    Oleh itu, hasad dengki amatlah marabahaya terutamanya kepada umat islam yang tidak kukuh iman dan taqwanya. Disamping itu, sifat hasad merupakan salah satu sifat mazmumah yang sepatutnya dibenci dan dihindari semua kerana bahananya yang mampu merosakkan kerukunan dalam bermasyarakat, menyebabkan permusuhan antara sesama islam dan mengucar-kacirkan hubungan silaturrahim antara sesama manusia. Jelaslah apa yang difirmankan oleh Allah SWT dalam surah an-Nisa pada ayat 32, yang bermaksud;
   “Dan janganlah kamu iri hati terhadap apa yang dikurniakan Allah kepada sebahagian kamu lebih banyak daripada sebahagian yang lain. (kerana) bagi lelaki ada bahagian daripada apa yang mereka yang usahakan, dan para wanita (pun) ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan, dan mohonlah kepada Allah sebahagian daripada kurniaan-Nya. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui segala sesuatu.” .