Menurut Kamus Dewan Edisi keempat,
hasad didefinisikan sebagai dengki, cemburu (disertai dengan niat jahat) iaitu
kedengkian, kecemburuan yang disertai niat jahat. Manakala dari segi istilah
pula, hasad benci kepada nikmat Allah SWT yang bermaksud usaha atau perbuatan seseorang untuk
melakukan sesuatu yang boleh menjatuhkan maruah, mengadu domba, menaruh
kebencian orang terhadap insan yang dicemburuinya dengan perkara-perkara yang
jahat.
Selain itu, menurut Al-Jurjani
Al-Hanafi dalam kitabnya, hasad ialah menginginkan atau mengharapkan seseorang
kehilangan nikmat daripada orang yang didengkinya (mahsud) supaya berpindah
kepadanya. Selain itu, menurut Imam Al-Ghazali pula, hasad ialah membenci akan
nikmat Allah SWT yang dimiliki oleh orang lain serta menyukai sekiranya nikmat
tersebut itu hilang dan habis. Sehubungan dengan itu, Sayyid Quthb dalam
tafsirnya menyatakan bahawa hasad ialah perbuatan emosional yang berhubungan
dengan keinginan agar nikmat yang diberikan kepada seseorang hamba-Nya hilang
daripadanya, sama ada hasad tersebut dizahirkan dengan perbuatan dan percakapan
atau sekadar tersemat dan terbuku dalam hatinya sahaja.
Perasaan hasad cenderung ke arah
kejahatan dan keburukan kerana tidak senang dengan kelebihan yang dimiliki oleh
orang lain sama ada secara jelas atau secara diam-diam mencemburuinya.
Sehubungan dengan itu, sifat hasad ini akan menyebabkan seseorang selalu
mencari keburukan dan kelemahan orang lain dan menyebarkannya dengan menokok
tambah untuk membawa kebencian dan kemarahan orang lain terhadapnya.
Sebagaimana keterkaitannya dengan sebuah hadis nabi yang diriwayatkan oleh
Muslim dan Abu Hurairah r.a yang bermaksud:
“Janganlah kamu
sekalian saling menghasut, saling membenci, saling memata-matai, saling membuka
aib, saling menipu dan saling menjatuhkan, tapi jadilah kamu sekalian hamba
Allah yang bersaudara”.
Contoh perbuatan jahat yang boleh
menjatuhkan maruah seseorang adalah dengan fitnah, khabar angin yang
dibuat-buat, mengumpat dan sebagainya. Selain itu, seseorang yang mampunyai
sifat hasad dalam dirinya selalunya berani untuk melakukan perbuatan tidak
bermaruah seperti merosakkan sumber kesenangan, mencuri, menghancurkan dan
sebagainya supaya dapat memuaskan hatinya dan menyusahkan atau membawa kesulitan
kepada seseorang yang dicemburui itu.
Sifat mazmumah tersebut merupakan
perbuatan yang tidak berakhlak dan merupakan penyakit yang terdapat dalam hati
seseorang insan di mana sifat ini membawa kepada kebatilan dan laknat Allah
S.W.T. Hasad dengki sangat dibenci oleh Rasullah dan rasul-rasul sebelumnya Sifat
mazmumah ini akan menyebabkan segala amal kebaikan yang dilakukan akan menjadi
sia-sia dan tidak berguna. Rasullah bersabda yang diriwayatkan oleh Abu Daud, Ibnu Majah dari Abu Hurairah bermaksud;
”Janganlah kamu
bersikap dengki (hasad), kerana dengki itu melenyapkan kebaikan seperti api
yang membakar kayu”
Berdasarkan kepada hadis sahih
tersebut, jelas sifat hasad membawa kepada kerosakan iman dan taqwa seseorang
muslim. Sifat ini akan mendorong kepada kelemahan iman yang menjadi benih
kepada perkara-perkara kemungkaran.
Oleh itu, hasad dengki amatlah
marabahaya terutamanya kepada umat islam yang tidak kukuh iman dan taqwanya.
Disamping itu, sifat hasad merupakan salah satu sifat mazmumah yang sepatutnya
dibenci dan dihindari semua kerana bahananya yang mampu merosakkan kerukunan
dalam bermasyarakat, menyebabkan permusuhan antara sesama islam dan
mengucar-kacirkan hubungan silaturrahim antara sesama manusia. Jelaslah apa
yang difirmankan oleh Allah SWT dalam surah an-Nisa pada ayat 32, yang
bermaksud;
“Dan janganlah
kamu iri hati terhadap apa yang dikurniakan Allah kepada sebahagian kamu lebih
banyak daripada sebahagian yang lain. (kerana) bagi lelaki ada bahagian
daripada apa yang mereka yang usahakan, dan para wanita (pun) ada bahagian
daripada apa yang mereka usahakan, dan mohonlah kepada Allah sebahagian
daripada kurniaan-Nya. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui segala sesuatu.” .
No comments:
Post a Comment