Saturday 15 June 2013

Ilmu Kekeluargaan membina kebahagiaan

RUKUN NIKAH
Wali
Wali merupakan orang yang mempunyai kuasa melakukan akad nikah terhadap mereka yang berada di bawah kuasanya sebagaimana yang telah diberikan oleh syara’. Sebagaimana yang disebutkan dalam hadis Rasulullah s.a.w;

“Tidak sah perkahwinan tanpa wali”
                                   (Diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Daud, Tarmizi dan Ibnu Majah)

Para Ulama pula menetapkan beberapa syarat yang perlu kepada seorang wali atau wakilnya untuk melakukan akad nikah.
i. Lelaki
Kebanyakan Ulama menyatakan bahawa orang yang melakukan akad adalah kaum lelaki, sama ada wali atau wakilnya kerana perempuan tidak berhak untuk melakukan akad (ijab dan qabul) sama ada untuk dirinya atau untuk orang lain walaupun dengan kebenaran walinya. Aqad yang dilakukan oleh kaum wanita adalah tidak sah kecuali bagi mazhab Hanafi yang mengiktiraf bahawa akad yang dilakukan oleh perempuan adalah sah berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah r.a.

Maksudnya: Daripada Aisyah r.a beliau berkata, Nabi S.A.W bersabda “mana-mana perempuan yang mengahwinkan dirinya dengan tidak mendapat persetujuan walinya, maka perkahwinan itu adalah batal.” Baginda mengulang tiga kali. “Jika telah berlaku persetubuhan maka bagi perempuan maskahwin dengan sebab persetubuhan itu, jika berlaku pertelingkahan maka sultan menjadi wali kepada mereka yang tidak mempunyai wali.

ii. Berakal: Tidak termasuk;
a. Kanak-kanak yang belum berakal dan mumayyiz. Manakala aqad yang dilakukan oleh kanak-kanak yang telah berakal, tetapi mumayyiz adalah sah dengan syarat mendapat kebenaran walinya kerana kanak-kanak masih sibuk dengan permainan.
b. Orang gila sepanjang masa. Manakala gila sekali sekala menurut  pendapat yang lebih sahih daripada mazhab Syafi’i menyatakan bahawa aqad yang dilakukan oleh orang gila sekali sekala adalah tidak sah. Sebagaimana juga aqad yang dilakukan oleh orang gila sepanjang masa kerana hilang keahliannya.
c. Mereka yang cacat pemikirannya (tergangu pemikirannya), lambab pemikiran atau bodoh atau kerana terlalu tua.
d. Orang yang berpanyakit pitam, tidak sah  aqad nikah tersebut dilakukan semasa pitam, sebagaimana juga orang tidur dan diwajibkan menunggu sehingga sembuh daripada pitam.
e. Orang yang mabuk.
f. Orang yang sakit dan tidak dapat memikirkan perkara lain selain daripada penyakitnya dan tidak dapat membezakan antara kemaslahatan dan kemudaratan.

iii.  Sampai umur (Baligh)
Tidak termasuk kanak-kanak yang belum sampai umur dan belum mumayyiz. Manakala kanak-kanak yang mumayyiz dan berumur sepuluh tahun, yang melakukan aqad adalah dikira sah mengikut mahzhab Hanafi.

iv.  Merdeka
Tidak termasuk hamba, kerana hamba tidak berhak menjadi wali sama ada menjadi wali kepada hamba atau kepada mereka yang merdeka dan hamba tidak mempunyai kelayakan untuk menjadi wali.

v. Bersifat adil
Tidak termasuk mereka yang fasiq, mengikut mazhab Syafi’I dan mazhab Hambali. Manakala mengikut mazhab Hanafi pula menyatakan bahawa wali yang fasiq tidak menghalang daripada melakukan aqad perkahwinan bahkan aqad tersebut adalah sah.

vi. Seagama dengan mereka yang diwalikan
Tidak termasuk mereka yang berlainan agama dengan perempuan yang diwalikan bahkan aqad perkahwinan yang dilakukan oleh hakim atau sultan, bersandarkan kepada Firman Allah S.W.T;

Maksudnya: Dan orang yang beriman, lelaki dan perempuan setengah mereka menjadi wali kepada yang lain.

Friday 14 June 2013

Pahit Sebagai Kekuatan

        Betapa sedihnya bila kita mengimbau kembali kenangan lalu, apatah lagi kenangan pahit dan sejarah hitam sepanjang hidup kita. Memanglah teramat sakit dan menguris namun kesedihan yang datang itu pasti ada hikmahnya dan pasti akan ada sebabnya. tidaklah sesuatu perkara itu terjadi secara sia-sia. Maka semua itu perlu kita lupakan demi untuk terus melangkah ke hadapan menghadapi segala ranjau kehidupan yang mendatang dan menghampiri kita. Kesedihan yang kita lalui tidak selamanya akan menghantui kehidupan kita, air mata tangisan dan kesedihan akan berhenti jua pabila hati menapakkan kekuatan untuk memulakan kehidupan baharu yang belum pun tentu bagaimanakah terjadi nanti. 
        Kesedihan mampu membuat kita lebih kuat tetapi juga mampu membuat kita jatuh ke lorong yang dalam, payah untuk bangkit, sukar untuk berdiri semula. Boleh sahaja yang kita benci itu sebenarnya baik untuk diri kita, dan boleh sahaja perkara yang dicintai itu memudaratkan kita. Lebih baik berada di antaranya tidak berat kearah ke bencian dan tidak kurang ke arah kecintaan. Bersederhana mampu menyelamatkan kita dan mampu juga menyelamatkan orang lain. Kerana Kebencian dan Kecintaan itu perlunya beriringan secara seimbang atau selari. 
          Kekuatan yang datang kerana pemikiran kita kearah positif tanpa menghukum diri mahupun orang lain sebaliknya positif untuk memperbaiki diri dan berazam melakukan dengan pengalaman yang sebenarnya mematangkan pemikiran dan sikap kita. Setiap perkara apabila ditangani dengan cara yang betul dan berhemah akan mendatangkan kesan yang positif. Positif dari segi kenapa ianya berlaku?, bagaimana ini berlaku dan lain-lain persoalan yang membelengu diri tatkal dilanda kesedihan. Persoalan yang demikian hanya akan memburukkan keadaan dan mengeruhkan pemikiran malah merosakkan diri kita sendiri.
           Betapa perlunya kesabaran hati dalam menempuh segalanya dan betapa perlunya hati kita untuk kuat dan teguh agar kenangan yang mungkin akan sering kali menghantui kita lalu tanpa sedikitpun melontarkan kegoyahan. Sebagaimana kenangan manis itu datang dan kemudiannya pergi, begitulah juga kenangan pahit, biarkan ia datang dan pergi semahunya kerana kenangan itu sebenarnya kekuatan.

Pahit bukan balasan jahat,
Manis bukan balasan baik,
Pahit mengajarkan minda sihat,
Manis menjadikan kita lebih baik..

Ilmu Kekeluargaan Membina Kebahagiaan (sambungan pertunangan)

-Peminangan atas pinangan

Para Ulama bersependapat menyatakan bahawa haram melakukan peminangan ke atas seseorang perempuan yang telah menjadi tunangan orang atau telah memberi persetujuan dengan peminangan tersebut. Berdasarkan persetujuan tersebut, maka diharamkan ke atas sesiapapun lelaki melakukan peminangan ke atas perempuan itu kerana telah menjadi tunangan orang. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW;

Tidak harus bagi seseorang lelaki meminang ke atas pinangan saudaranya, sehingga dia berkahwin dengan perempuan itu atau dia (perempuan) putuskan tunang.”
                                                                   (Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Nasa’i)
Larangan tersebut adalah untuk mengelakkan berlaku permusuhan antara orang pertama dengan orang kedua. Pinangan kedua bolah merosakkan pinangan orang yang pertama melainkan pihak perempuan memutuskan pertunagan terlebih dahulu sebelum pinangan kedua dilakukan. Maka tidak menjadi kesalahan bagi lelaki atau perempuan untuk memutuskan pertunangan sama ada dengan beradab atau tidak kerana akad perkahwinan adalah ikatan sepanjang hayat. Sekiranya perkahwinan tetap berlaku dengan pasangan yang difikirkan tidak sesuai, maka mereka akan hidup dalam keadaan sengsara seumur hidup.
Oleh sebab itu, adalah diharuskan kepada seseorang memutuskan pertunangan sebalum perkahwinan, kerana pertunangan bukanlah satu ikatan yang tidak boleh diputuskan. Bahkan Islam memberi kebebasan sepenuhnya kepada setiap individu untuk memilih bakal pasangan masing-masing supaya tidak terjebak dengan perkahwinan dengan mereka yang tidak sesuai dan tidak serasi.
Akan tetapi jika pihak perempuan masih belum memberikan sebarang persetujuan terhadap pinangan tersebut, sama ada berdiam diri atau berfikir atau berbincang dengan ahli keluarga, maka keadaan tersebut tidak dikatakan bertunang, bersandarkan kepada Hadis yang diriwayatkan oleh Fatimah binti Qias;

“Fatimah binti Qias berjumpa Rasulullah s.a.w lalu menceritakan bahawa Mu’awiyah dan Abu Jahm telah meminangnya, Baginda bersabda: Mu’awiyah seorang yang miskin tidak berharta, manakala Abu Jahm pula seorang yang senantiasa meletakkan tongkat di atas tengkuknya (garang dengan isterinya ataupun orang tua), maka kahwinlah dengan Usamah bin Zaid.”
                                                                                                           (Muttafaq ‘Alaih)

Hadis tersebut menerangkan bahawa Fatimah binti Qias menceritakan kepada Rasulullah s.a.w tentang pinangan yang dibuat oleh Mu’awiyah dan Abu Jahm terhadap dirinya dan belum membuat keputusan terhadap pinangan tersebut. Maka Rasulullah s.a.w mencadangkan kepada Fatimah supaya berkahwin dengan orang ketiga iaitu Usamah bin Zaid. Jelasnya pinangan yang belum dipersetujui tidak mengharamkan orang lain melakukan peminangan ke atas perempuan tersebut.

Mazhab Maliki menambah dengan menyatakan bahawa diharamkan membuat peminangan ke atas perempuan yang telah menaruh minat kepada seorang lelaki yang tidak fasiq, sama ada lelaki tersebut berkuasa menyediakan mas kahwin mahupun tidak. Tetapi jika seseorang perempuan menaruh minat terhadap lelaki yang fasiq, maka tidaklah menjadi halangan kepada orang yang tidak fasiq atau orang yang tidak diketahui latar belakangnya untuk meminang perempuan tersebut asalkan lelaki itu lebih baik daripada lelaki yang fasiq tersebut.

Wallhu'alam..

Ilmu Kekeluargaan Membina Kebahagiaan

PERTUNANGAN

Meminang merupakan perkara pertama yang perlu dilakukan oleh seorang lelaki yang ingin menjadikan seseorang perempuan sebagai isterinya. Sekiranya diketahui bahawa perempuan tersebut belum mempunyai ikatan pertunangan dengan sesiapa maka lelaki tersebut boleh melakukan peminangan. Namun demikian terdapat beberapa keadaan yang sering menjadi persoalan sama ada boleh atau tidak, haram atau harus untuk melakukan peminangan terutamanya berkaitan dengan tempoh iddah.

-Peminangan semasa  Iddah
Para Ulama bersependapat menyatakan bahawa haram melakukan peminangan secara langsung terhadap perempuan yang berada dalam iddah raj’I atau iddah ba’in, sama ada ba’in talaq tiga atau ba’in selain talaq tiga seperti fasakh perkahwinan kerana sabit haram perkahwinan sama ada haram tersebut dengan sebab keturunan atau susuan atau musaharah atau perempuan dalam iddah kematian suami atau iddah persetubuhan syubhah atau iddah persetubuhan pada perkahwinan syubhah.
Mazhab Maliki menambah, bahawa haram juga meminang perempuan yang sedang beristibra, (menunggu bersih rahim daripada kandungan) sama ada kerana zina atau rogol. Bahkan haram membuat perjanjian untuk berkahwin selepas iddah, walaupun perjanjian dilakukan oleh wali perempuan. Tetapi peminangan secara langsung diharuskan kepada bekas suami perempuan yang bercerai ba’in dengan sebab fasakh perkahwinan seperti perceraian tebus talaq (khal) atau kerana aib atau kerana li’an. Bahkan boleh melakukan aqad perkahwinan walaupun dalam keadaan iddah kerana iddah tersebut merupakan iddah suaminya.

-Peminangan secara tidak langsung

Para Ulama bersependapat menyatakan bahawa peminangan secara tidak langsung boleh dilakukan terhadap perempuan yang berada dalam iddah ba’in talaq tiga atau ba’in fasakh perkahwinan dengan sebab aib atau disebabkan li’an atau tebus talaq atau perceraian dengan sebab susuan atau perempuan  dalam iddah persetubuhan syubhah atau persetubuhan pada perkahwinan yang rosak ataupun mengikut mazhab Maliki dalam istibra’ dengan sebab zina atau rogol adalah haram. Kecuali perempuan dalam iddah raj’I, maka diharamkan meminang secara langsung.

bersambung......