Sunday 8 January 2012

Sahabat dan Amanah dalam persahabatan^^


Sahabat, teman, rakan atau kawan merupakan eleman yang sangat penting dalam kehidupan kita seharian. Sedar atau tidak merekalah yang menghiasi perjalanan hidup seiring bangkitnya kita dari tidur. Sahabat itulah yang akan selalu mengimamkan solat atau menjadi makmum dalam solat subuh hinggalah solat isyak. Merekalah juga yang akan menjadi tangan, mulut, mata dan telinga kepada kita, tidak kiralah perkara itu cenderung kearah positif atau sebaliknya.
Namun sejauh mana kita menjaga amanah dalam persahabatan. Beramanah dalam persahabatan merupakan salah satu batas pergaulan yang sememangnya dituntut setiap insan. Seseorang yang menyayangi dan mengasihi sahabatnya selalu menjaga amanahnya kerana amanah dalam persahabatan merupakan amal ibadat. Dan pastinya perihal amanah akan disoal oleh Allah S.W.T di akhirat kelak. Tidak kiralah sahabat kita itu lelaki mahupun perempuan.
            Amanah bermakna suatu prinsip percaya dalam perhubungan dengan kata lain meletakkan  kepercayaan kepada seseorang yang terdekat. Menjaga maruah merupakan salah satu amanah yang amat besar  nilainya dalam perhubungan. Sering kali kita didedahkan dengan segelintir orang yang mengaibkan orang lain dengan menyatakan keburukan sahabatnya. Tidak pernah terfikirkah kita apabila menyatakan keburukan orang lain juga salah satu unsur-unsur fitnah? Apabila kita menyatakan keburukan orang lain, tidak takkan terlepas untuk menokok tambah memaniskan cerita itu dan ini. Paling tidak pun proses menceritakan itu akan akan bersifat mengumpat.
            Jika benar kita seorang sahabat yang baik, kita tidak akan tergamak menyatakan sedikitpun cacat cela orang yang menyatakan kepercayaannya kepada kita. Dan sebenarnya jika itu terjadi maka kita sebenarnya tidak ikhlas dalam persahabatan. Dan ikhlas atau tidak tujuan kita menjalinkan persahabatan bergantung sepenuhnya kepada niat.
            Kasihilah orang lain umpama mengasihi diri sendiri, apatah lagi insan yang bergelar sahabat. Mengasihi orang lain bermakna mengasihi diri sendiri juga. Hakikatnya walaupun terdapat kekurangan dalam persahabatan yang terjalin, berdoalah kepada Allah S.W.T agar diberikan petunjuk. Kerana persahabatan yang kita jalinkan memberikan 1001 macam kebaikan yang tidak pernah kita bayangkan sama ada di dunia mahupun akhirat.
            Sabda Rasullah SAW yang bermaksud “Tiada keimanan bagi orang yang tidak amanah, dan tiada agama bagi orang yang tidak berpegang dengan janji”. Ingatlah sebanyak mana pun ibadah yang kita tunaikan, sebanyak mana pun ilmu yang dituntut, dan sebanyak mana pun kebaikan yang dicurahkan, seandainya kita lakukan hanya untuk menunjuk-nunjuk tanpa keikhlasan maka semua itu hanya sia-sia.^^

Monday 2 January 2012

Ikhlaskah Kita Dalam Bersahabat?

        Mengukur nilai persahabatan nampak mudah tetapi hakikatnya ia bukanlah boleh dilakukan sehari dua. maklumlah..hati manusia ini berubah-ubah. Hari ini dia memang kawan kita kerana mungkin sependapat, banyak persamaan, minat pun sama tetapi bila sudah lama kenal tersua cacat celanya.
        Ditakdirkan sahabat yang selama ini kita anggap sangat memahami kita tetapi tiba-tiba berubah sikap kerana sikap kita yang kurang menyenangkan hatinya, sanggupkah kita melerai ikatan persahabatan dek kerana kesilapan yang kadang-kala cuma remeh-temeh?
        Sebelum menilai sejauh mana kawan yang selama ini dianggap sahabat kita itu benar-benar jujur dalam persahabatan, tanyalah diri sendiri sejauh mana kita ikhlas bersahabat dengan orang lain. Jika kita benar-benar ikhlas bersahabat tetapi kawan kita pula tidak tahu menghargai keikhlasan kita, memanglah hati terasa pedih.
        Tetapi sekurang-kurangnya kita tidaklah mencemarkan nilai persahabatan dengan menguburkan persahabatan yang dibina sekian lama semata-mata silap sahabat yang mungkin tidak sebesar mana. Ikhlasnya persahabatan tidak ternilai dengan harta benda termahal sekalipun di dunia ini.
        Percayalah erti persahabatan yang paling bermakna hanya terbina dengan keikhlasan yang tidak berbelah bahagi. Janganlah hanya sekadar tahu berkata-kata apabila bersahabat kerana kata-kata takkan bermakna jika dibiarkan kata-kata itu begitu sahaja.
        Tanyalah hati dan diri masing-masing, adakah kita ikhlas bersahabat atau kawan hanya sekadar kawan kerana hakikatnya seribu orang mampu menjadi kawan namun seorang sahabat yang benar-benar bergelar sahabat belum tentu lagi.
        Sentiasalah memohon petunjuk dan pertolongan dari yang Maha Esa dalam bersahabat. Selalulah mendoakan kebaikan sahabat kita dan terimalah seadanya siapa sahabat kita kerana Seorang sahabat lebih bermakna daripada sekumpulan golongan cerdik pandai.




Berkawanlah selagi ada hati,
Carilah insan selagi ada yang sudi,
Gembiralah selagi ada yang menghargai,
Dan 'ingatlah' SAHABAT selagi terasa ianya bererti..Ingatlah^^