Wednesday 28 May 2014

Pason di Aki



 APABILA engkau sudah dewasa esok kesayanganku, jangan lupa siapa yang telah melahirkanmu, siapa yang telah membesarkanmu, siapa yang telah membanting tulang mengisi perutmu. Sayangku, dengarkan pesananku ini, jagalah keindahan bangsa kita, melalui bahasa kita, melalui budaya kehidupan kita dan melalui perpaduan bangsa kita. Ingatlah, kita berasal daripada satu tempat yang sama, dari Pomogunan Nunuk Ragang. Suatu haru nanti apabila engkau telah mengerti akan makna kehidupan ini, berpegang teguh pada nasihatku.”

Kerinduanku pada tanah kelahiranku itu sangat kurasai apatah lagi berada di perantauan. Bumi Malaya ini Aku jejaki sejak setahun tahun lalu kerana tanggungjawabku sebagai seorang pelajar. Perjuangan ini perlu Aku tempuhi dek kerana ingin memajukan diri, menimba seberapa banyak ilmu dan pengetahuan agar penuh didada. Kerana Aku menyedari hanya dengan pendidikan yang berguna saja Aku mampu membela nasibku dan masa depanku.
Sememangnya  cabaran ini terlalu berat buatku, namun kecekalan hatiku membuatkan Aku terus kuat mengharung segala perit getir kehidupan di tempat orang. Ijazah sarjana muda yang ingin Aku capai ini bukanlah mudah untuk direalisasikan, namun bukan mustahil untuk Aku lakukannya.
Borneo Utara, tanah tumpah darahku, tanah kelahiran dan mungkin tanah kuburku kelak. Tanah Subur yang dikelilingi tiga buah lautan luas memberikan sempadan mutlak kepadanya. Laut China Selatan di sebelah barat, Laut Sulu di sebelah utara dan Laut Sulawesi di bahagian timur. Sebuah tempat yang mempunyai keunikan dan keistimewaan tersendiri. Dari aspek kaum sahaja, Sabah memiliki 30 kumpulan etnik dengan lebih kurang 80 dielek dan bahasa setempat yang dimiliki oleh penduduk bumiputera. Sebuah tempat bagi diriku dan bangsaku berkembang maju, melebarkan pengaruh kebudayaan dan kesenian.
Bangsa Kadazan-Dusun dikenali sebagai kaum yang paling ramai menghuni perbatasan negeri di bawah bayu ini. Tiga per empat daripada penduduk tempatan Sabah, bangsa Kadazan-Dusun mempunyai lebih kurang 40 subetnik yang dibezakan berdasarkan budaya setempat, dielek, dan geografi.
Terkenang akan tempat kelahiranku, sememangnya Aku pasti terimbau seraut wajah yang aku kagumi. Darah dagingnya yang mengalir ditubuhku bagaikan membara bila saja Aku teringat padanya. Nasihatnya banyak memberikan Aku sumber aspirasi dan kekuatan. Setiap kata-katanya menusuk kekal di ingatanku. Peranannya sebagai ketua masyarakat yang memperjuangkan adat resam membuatkan dia kujadikan sebagai idola. Aki merupakan insan yang telah membentuk jati diriku. Menjadi seorang yang berpegang teguh pada bangsa dan darah keturunan.       
“Bangsa Kadazan-Dusun perlu maju ke hadapan sebaris dengan bangsa-bangsa lain. Aku berdoa suatu hari nanti bangsa Kadazan-Dusun juga mampu menjadi pemimpin yang dihormati, mampu menjadi bangsa yang maju, serta menjadi bangsa yang disegani dan dikenali semua.”
            Aki merupakan seorang pemimpin yang disegani, jati dirinya yang kental membuatkan dirinya dikenali sebagai pembela masyarakat Dusun di kawasanku. Sebagai ketua adat beliau merupakan sumber rujukan. Tidak hairanlah beliau sering dikunjungi oleh individu yang mempunyai masalah berkenaan dengan masalah peribadi, masalah kekeluargaan, masalah kemasyarakatan, hal ehwal hak milik dan sebagainya.
Aku masih ingat peristiwa dua orang remaja bergaduh sehingga menyebabkan kecederaan serius. Seorang remaja lelaki memukul dengan sengaja seorang remaja lelaki yang lebih muda daripadanya akibat tidak puas hati. Remaja yang lebih muda tersebut telah mempersendakan remaja yang lebih tua itu dengan mengatakan bahawa dia penakut dan pengecut. Lantas remaja yang lebih tua tersebut mencapai sebatang kayu api dan memukul bahagian kepala remaja muda itu. Ibu bapa kepada remaja yang dipukul telah melaporkan kepada Aki. Aki menyelesaikan pertelingkahan itu berdasarkan adat Kadazan-Dusun yang sekian lama diamalkan oleh masyarakat.
Kedua-dua remaja itu dikenakan ‘sogit’  yang bertujuan untuk memberi pengajaran kepada mereka supaya tidak mengulangi perbuatan jahat sedemikian. Akhirnya remaja yang telah memukul itu diarahkan untuk memberikan seekor kambing kepada remaja muda manakala remaja muda perlu memberikan dua ekor ayam sebagai ‘sogit’ kerana mencetuskan pertelingkahan.
Begitulah caranya masyarakat Kadazan-Dusun menjalani kehidupan seharian. Kehidupan bermasyarakat sememangnya penting untuk menjaga kemakmuran setempat. Setiap kali perayaan Kaamatan tiba, Aki sentiasa mengingatkan bahawa masyarakat perlu mengamalkan nilai-nilai murni supaya kehidupan sentiasa aman dan sentosa. Nilai-nilai tersebut juga akan menyebabkan bangsa Kadazan-Dusun akan terus maju ke hadapan. Aku masih ingat akan ucapan Aki yang mengetengahkan beberapa disiplin asas untuk mengecapi keharmonian.
            “Wahai saudara dan saudari, wahai ibu dan ayah yang baik, wahai muda-mudi yang esok akan menjadi dewasa. Selagi kita mengamalkan nilai-nilai ini, kita akan terus mengecapi kemakmuran. Percayalah bahawa sikap bersatu-padu dan tolong-menolong, kerana nilai ini akan menguatkan tali persaudaraan, menyemarakkan semangat keakraban antara kita. Percayalah bahawa nilai bertimbang-rasa dan lemah lembut akan membangkitkan kekuatan yang luar biasa dalam keakraban yang kita bina. Percayalah kepadaku sifat penyayang dan suka mengambil tahu akan ahli masyarakat akan meneguhkan dinding kekitaan, menghindari anasir kejahatan dan kebencian. Ingatlah bahawa apabila kita bersikap rajin dan berjimat-cermat, kita akan dapat menghadapi kehidupan ini dengan penuh penghormatan. Setiap ahli masyarakat akan mudah menghulurkan bantuan, memberikan bimbingan dan tunjuk ajar. Ingatlah bahawa apabila kita mempunyai sikap sopan santun dan budi pekerti yang luhur, setiap orang akan menyayangi dan menyanjungi anda. Percayalah pada nilai-nilai ini dan ingatlah walau siapapun anda.”
            Wasiat itu, meski telah sekian lama tidak dilaungkan oleh pamimpin Kadazan-Dusun kini, namun masih segar dalam ingatanku. Masih sentiasa terngiang-ngiang pada sudut gegendangku. Alangkah sungguh bermakna nilai kemanusiaan itu kepada Aki.  Sungguh Aku amat merindui Aki.
Sewaktu cuti antara semester lalu, aku sempat mengunjungi sebuah tempat. Tempat yang merupakan titik tolak kepada bermulanya penyebaran bangsa Dusun di serata Borneo sebagaimana yang telah diceritakan oleh Aki . Petempatan ini sememang sudah sekian lama menjadi ‘Identity of Borneo’. Pomogunan Nunuk Ragang yang bermakna Perkampungan Pokok Ara Merah merupakan petempatan awal kaum Kadazan-Dusun sebelum tersebar meluaskan budaya dan sosialnya. 
Menurut Aki Nunuk Ragang ialah sebatang pokok ara yang sangat besar dan tinggi yang terletak di tengah-tengah pertemuan dua sungai. Sungai yang mengalir dari arah kanan dinamakan sebagai Bowang Kawananan manakala sungai yang mengalir dari arah sebelah kiri dinamakan sebagai Bowang Kogibangan. Percantuman antara dua sungai tersebut telah mengalirkan sebatang sungai yang besar yang dinamakan Bawang Liwogu yang bermakna  sungai yang dalam dan tenang. 

Menurut Aki suatu ketika dahulu masyarakat Nunuk Ragang hidup dalam keadaan aman dan damai kerana mengamalkan nilai-nilai murni yang sering dilaung-laungkan oleh Aki sendiri dan pemimpin-pemimpin terdahulu. Menurut Aki lagi, melalui kehidupan yang tenteram itu telah membolehkan mereka menerokai teknologi baru bagi menambah kecekapan dan  memudahkan urusan untuk meningkatkan kesejahteraan hidup. Mereka telah mencipta peralatan pertanian seperti parang (dangol), penampi padi (rilibu), taasok dan lain-lain.
        Aku masih ingat lagi zaman kanak-kanakku. Aku sering bertanya kepada Aki bermacam-macam perkara termasuklah perkara- yang sebenarnya Aku sudah tahu, hanya suka bertanya untuk mencari perluang  bersembang dengan Aki.
“Aki apa nama alat yang Aki pegang?”
“Oh, Ondu ini namanya sopuk, yang bergantung di tepi tu namanya sungul dan kasip”. Jelas Aki menunding jari pada alat yang kelihatan seperti sumpit dan alat menjerat yang lainnya.
Demikianlah pelbagai alat yang dicipta dan dibuat oleh masyarakat Kadazan-Dusun terdahulu. Di samping untuk memudahkan kegiatan seharian, mereka juga telah mencipta peralatan alat-alat muzik misalnya gong (tagung), sompoton, suling, pumpuok, turali dan bungkau. Sememangnya nilai-nilai murni yang diamalkan semenjak nenek moyang dahulu telah menyebabkan bangsa Dusun semakin berkembang dan semakin teguh.
Namun kemajuan yang bermula dengan penerapan nilai-nilai murni itu kini kian luntur akibat petualang politik yang tamakkan harta dan kekayaan. Hanya tahu mengambil kesempatan mengaut keuntungan yang belum tentu dapat menyelamatkannya di akhirat nanti.
“Andai kata Aki masih ada ketika ini dia pasti akan bangun berdiri, lantang bersuara mematahkan idologi-idologi mengarut politik yang melanda bangsa Kadazan-Dusun. Idologi-idologi yang merosakkan perpaduan dan semangat kekitaan antara sesama darah. Sungguh sedih apabila melihat bangsaku sendiri kutuk mengutuk, tunding menunding, tuduh menuduh, salah menyalahkan, serang menyerang antara satu sama lain hanya kerana fahaman politik yang berbeza”
Kerakusan mahu memiliki puncak kuasa yang sirna, pucuk kuasa yang lemah lagi sementara. Hanya memikirkan diri sendiri tanpa tersedar yang dirinya hanya seorang daripada beribu-ribu orang Kadazan-Dusun yang mahu diri mereka dibela dan didekati. Tidak kurang juga yang terlalu taksub dengan etniknya, rasisme yang keterlaluan menjadi jarum dalam selimut pencetus kemarakan api kebencian dan kemarahan, tanpa berfikir bahawa bangsa Kadazan-Dusun itu sedarah walaupun terdiri daripada dielek atau suku kaum iaitu Bundu, Bisaya, Bonggi, Dumpas, Gana, Garo, Idaan, Kimaragang, Kolobuan, Kuijau, Liwan, Labuk, Lingkabau, Lobu, Lotud, Lundayoh,  Makiang, Malapi, Mangkaak, Minokok, Murut, Ngabai, Poitan, Pingas, Rumanau, Rungus, Sinobu, Sinorupu, Sonsongon, Sungai, Sukang, Tagahas, Tatana, Tangara, Tidong, Tindal, Tobilung, Tolonting, Tombunou, Tuhawon dan Tutung.
Mereka mempersendakan bahkan memperkecilkan saudara sedarah mereka, bersikap prejudis kepada dielek yang lainnya, padahal semuanya berasal dari satu tempat yang sama iaitu Pomogunan Nunuk Ragang. Sekiranya Aki masih ada, mereka pasti tidak akan berani memporak-purandakan, apalagi mengoyahkan semangat perpaduan dalam kalangan bangsa Kadazan-Dusun. 

 Bangunlah wahai anak bangsaku, sedarlah wahai pertiwiku, bukalah minda wahai budayawan bangsaku. Sesungguhnya pertalian darah ini amat bermakna kepada kemajuan dan kemakmuran bangsa kita yang tercinta, bangsa Kadazan-Dusun.
Tarian, nyanyian dan simfoni muzik yang diwariskan oleh nenek moyang terdahulu seharusnya dimartabatkan. Kerana dahulunya tradisi pesta menuai merupakan salah satu cara pemimpin Nunuk Ragang menyatupadukan masyarakatnya. Tadau Kaamatan yang kini dirayakan bersempana dengan kesyukuran menuai padi diilhamkan oleh Orang Kaya-Kaya (OKK) Sodomon selaku Ketua Anak Negeri Keningau pada awal tahun 1956. Pesta menuai tersebut sepatutnya menjadi medium utama untuk mengeratkan perpaduan antara masyarakat Kadazan-Dusun.
Kesepian di hujung minggu ini amat menyesakkan nafasku, leherku bagai di jerut tali temali yang enggan berganjak malah semakin kuat. Mahasiswa dan mahasiswi kebanyakan akan pulang ke kampung untuk meleraikan kekusutan fikiran menghadapi betapa hebatnya tekanan bergelar pelajar. Namun Aku hanya dapat melabuhkan kepalaku pada bantal empuk menunggu tibanya hari yang bernama isnin.
Dalam keheningan inilah Aku sering merindui Aki, kadang-kadang mengalirkan bintik-bintik jernih berkilau untuk melepaskan kesayuan. Dan hanya dengan solat Aku mampu meneguhkan harapanku agar dirinya Aki akan sentiasa berada di samping Tuhan Yang Maha Esa, dinaungi dengan rahmat dan berkat. Walaupun setahu Aku, Aki hanya bergelar muslim di akhir-akhir usianya namun sesungguhnya Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Aku Sering doakan agar lafaz syahadah yang diakui Aki membersihkan jiwa dan nuraninya umpama tirai kain putih yang suci murni.
“Aki walaupun kau telah pergi untuk selamanya, darah merah yang mengerakkan setiap sudut tubuhku ini akan tetap membara memperjuangkan bangsa dan keturunan. Meski perjuangan yang Aku pilih mungkin hanya mengumpul dan menyusun keindahan bahasamu. Aku terus perjuangkan dengan hujung pena setiap kata-kata dan pesananmu. Pesananmu terlalu bermakna untukku mengertikan. Kata-kata hikmatmu akanku pegang sehingga akhir hayatku. Menapak pada setiap langkahku, membias pada setiap sudut pandanganku dan disemarakkan dengan setiap hembusan nafasku.
“Selama Aku menjalani kehidupan ini, semakin hari Aku sudah semakin hampir untuk kembali kepada-MU wahai Tuhanku. Jagalah kesihatan dan keselamatan anak-anakku dan setiap darah keturunanku. Berikan mereka kekuatan hati dan semangat yang tinggi mengharungi perjalanan kehidupan ini. Tunjukanlah mereka supaya sentiasa gigih mencari kehidupan yang lebih bermakna. Ajarkan kepada mereka erti bersatu-padu, tolong-menolong dan berkerjasama  mencari kesejahteraan hidup. Tunjukkan Aku jalan yang Engkau redai, bimbinglah kami mencapai kebahagiaan yang kekal.”
Amin ya rabbal alamin. Berlimpahlah keberkatan buat Aki yang rendah hatinya memohon doa kepada Allah S.W.T yang Maha Esa.

Wednesday 14 May 2014

Logik Bahasa Sebagai Gaya dalam Sajak Usman Awang



Pengenalan
            Menurut kamus Dewan Edisi keempat, logik didefinisikan sebagai sains yang berkaitan dengan prinsip yang membolehkan pemikiran dan penaakulan dibuat secara teratur dan bersistem, ilmu tentang cara berfikir (atau kaedah berfikit) dan ilmu mantik atau sesuatu yang dapat diterima oleh akal, masuk di akal, munasabah dan benar. Logik bahasa sering kali dikaitakan dengan kebenaran atau kesahihan sesuatu idea atau maklumat yang disampaikan sama ada melalui verbal atau non-verbal yakni pertuturan atau penulisan. Oleh itu, logik bahasa dapat difahami sebagai bahasa yang dilihat sebagai medium untuk mengkaji dan menganalisis sesuatu idea dan maklumat sama ada benar atau tidak benar, betul atau salah.
            Selain itu, menurut etimologi logik diambil daripada bahasa Yunani iaitu "Logos" yang bermaksud pengucapan (utterence), penyataan (statement), pemikiran (thought) dan pemikiran akal (reason) iaitu sebab. Logik adalah cara atau proses mempelajari prinsip-prinsip yang digunakan untuk membezakan betul atau salah sesuatu hujah (reasoning). berdasarkan Edward de Bono di dalam bukunya Thinking Course menyatakan bahawa logik ialah satu cara menjana maklumat daripada sesuatu keadaan iaitu maklumat yang dijana berdasarkan kepada sesuatu yang benar dan diterima akal. Secara amnya logik difahami sabagai apa yang boleh difahami oleh akal manusia, iaitu menggunakan bukti bagi menjelaskan sesuatu yang tidak jelas pada mulanya. Dengan kata lain,logik bermaksud alasan yang dikemukakan untuk mengukuhkan sesuatu keadaan kedenaran yang boleh diterima oleh akal.
            Kebanyakan pemikiran yang betul dari segi logik akal terbukti salah jika dilihat dari sudut realiti alam dan kehidupan sebenar. Logik tentang sesuatu perkara dari segi akal manusia semata-mata juga disebut logik metametik manakala logik berdasarkan realiti alam sebenar disebut logik natural atau logik alam. Logik sangat berguna dalam  mencari kesimpulan atau deduktif dan untuk mempertahankan hujah tentang sesuatu idea,cadangan dan pandangan. Malahan ia juga digunakan untuk mencari sebab dan akibat tentang sesuatu perkara dengan perkara lain dan satu peristiwa dengan peristiwa yang lain.
            Menurut Jos Danial Parera (1999), sesuatu penyataan itu adalah 'logik' atau 'tidak logik' sekiranya kita mampu menghubungkan satu gagasan dan konsep gagasan dengan konsep gagasan yang lain. Beliau menghuraikan dua contoh ayat untuk membezakan antara penyataan yang logik dan sebaliknya.
            (i) Orang itu kelaparan dan makan batu.
            Ayat diatas dikatakan tidak logik kerana hubungan antara ungkapan ‘makan’ dan ‘batu’ adalah bersifat tidak logik.
            (ii) Orang itu kelaparan dan makan nasi.
            Ayat diatas dikatakan logik kerana ‘nasi’ termasuk dalam kategori makanan manusia.
            Dalam ayat (i) di atas, kita tidak dapat menentukan bahawa konsep batu (stone) itu logik atau tidak logik. Hal ini kerana konsep ‘batu’ itu tidak ada hubungan dengan logik atau tidak logik. Akan tetapi masalah dari segi ‘logikal makna’ akan muncul sekiranya kita menghubungkan perkataan ‘batu’ dengan konsep atau gagasan yang lain. Ayat (i) diatas dikatakan tidak logik kerana hubungan antara ungkapan ‘makan’ dan ‘batu’ adalah bersifat tidak logik tetapi ayat (ii) diatas dikatakan logik kerana ‘nasi’ termasuk dalam kategori makanan manusia.
            Berdasarkan pendapat para sarjana yang dibincangkan dapat difahami  logik bahasa dalam sesuatu penyataan sangat penting terutamanya berkaitan dengan konsep dan idea. Namun dalam sudut karya sastera, aspek logik boleh diterima sebagai stail seorang penulis untuk menyampaikan ideanya. Stail seseorang penulis dibincangkan dengan mendalam dalam bidang stilistik. Stilistik adalah ilmu yang mengkaji teknik pemakaian bahasa dalam penulisan yang berkaitan dengan disiplin linguistik. Stilistik mencakupi stail dan gaya yang dihubungkan dengan pemakaian bahasa sebagai wahana pengucapan. Stilistik memfokuskan aspek kebahasaan yang membentuk ilmu gaya yakni gaya sastera.
            Kertas kerja ini akan membincangkan logik bahasa sebagai gaya dalam syair sasterawan negara Datuk Dr. Usman Awang atau Tongkat Warrant. Perbincangan tentang logik bahasa sebagai gaya mempunyai kaitan secara langsung dengan stail dan teknik Usman Awang menyampaikan ideanya dalam penulisan karya. Antara Syair yang akan dibincangkan adalah seperti Anjing Itu (1950),  Ayah Belum Pulang (1961), Salam Benua (1970), Kekasih (1971), dan Boestamam (1983). Kelima-lima karya tersebut merupakan karya beliau yang mashyur dan terkenal bahkan telah menaikkan nama beliau sebagai seorang penulis yang berkarisma dan berwibawa. Idea yang beliau disampaikan digambarkan dengan penuh berhati-hati sehinggakan mampu memberikan kesan mendalam kepada setiap pembaca. Kesimpulannya, kajian ini penting untuk menghuraikan logik bahasa sebagai gaya dalam karya yang diilhamkan oleh seorang tokoh kesusasteraan negara. Gaya dan stail penulisan beliau perlu diteliti dan diperincikan agar dapat digunakan dan diaplikasikan pada masa akan datang.


Aspek logik dalam karya Usman Awang
            Lufti Abas (1985), menghuraikan bahawa ayat benar ditentukan oleh beberapa perkara iaitu binaan ayat  boleh difahami, ayat bersifat gramatis, ayat yang boleh diterima akal atau logik akal, empiris dan bersifat analitis. Ayat yang boleh difahami ialah ayat yang menggunakan bahasa yang betul dan tepat bukannya ayat yang tidak difahami seperti sasulan, bahasa bangsa lain, bahasa gerak geri. Seterusnya ayat yang bersifat gramatis merupakan ayat yang mengikut prinsip-prinsip bahasa atau berdasarkan tatabahasa dan nahu bahasa Melayu. Namun dalam kajian stilistik penyimpangan bahasa sering berlaku sekaligus membataskan pengaruh ayat yang bersifat gramatis sebagai ayat benar atau logik. Menurut Rene Wellek dan Austin Warren (1966:182), stilistik adalah proses meneliti penggunaan bahasa yang menyimpang daripada norma dan berusaha menemukan fungsi estetik. Sementelahan itu, ayat yang boleh diterima akaliah atau logik akal ialah ayat yang munasabah dan berdasarkan realiti. Lufti Abas juga menghuraikan ayat benar ialah ayat yang bersifat empiris dan analitis, empiris dan anilitis yang dimaksudkan ialah ayat yang kebenarannya tidak diragui kerana telah diuji melalui kajian dan eksperimen yang kemudiannya dihuraikan dengan terperinci dan mendalam.
            Kebanyakan karya sastera yang dihasilkan oleh Usman Awang adalah gambaran pengalaman yang berlaku di sekeliling beliau. Menurut Chai Loon Guan (2010), sajak-sajak Usman Awang pada era 1940-an dan 1950-an secara jelas memperlihatkan nada dan irama yang setia dan jujur terhadap sifat dan peribadi Melayu lama. Dengan demikian boleh diandaikan kebanyakan karya beliau adalah logik dan munasabah kerana diilhamkan melalui  pemerhatian dan tinjauan beliau sendiri. Beliau tertarik dengan isu-isu semasa yang berlaku di sekeliling sehinggakan isu yang bersifat subversif dan sensitif juga boleh menjadi sebuah karya yang mapan dan bersifat estatik. Bakat semula jadi menjadikan beliau seorang pengarang dan penyair yang berkebolehan mengekploitasi wahana bahasa  untuk melahirkan pendapat dan pandangan terhadap sesuatu perkara diluar kotak pemikiran masyarakat lainnya. Terdapat banyak bukti yang boleh mengaitkan karya beliau dengan unsur logik yang pada era awal sering berkaitan dengan usaha membangkitkan semangat nasionalisme dan cita-cita untuk memperjuangkan kebebasan masyarakat, kemanusiaan dan kemerdekaan.
            Karya beliau yang bertajuk Anjing itu, yang dikarang sekitar tahun 1950-an yakni sebelum kemerdekaan Tanah Melayu merupakan pandangan beliau terhadap keadaan masyarakat Melayu yang dijajah oleh pihak British. Penghasilan karya beliau tersebut jelas menunjukkan sentimen negatif terhadap sikap penjajah British yang memperhambakan masyarakat Melayu semata-mata untuk mengaut keuntungan. Pengalaman beliau tersebut merupakan sesuatu yang munasabah kerana boleh diterima akaliah, selain boleh diterima akan  dan berdasarkan empiris dan analitis beliau. Contohnya bait  pertama daripada sajak "Anjing itu".

Anjing itu kurus kelabu,
lidah terjelir nafas termengah-mengah,
menjaga istana tuannya yang gemuk,
patuh setia, menerima dan menyerah.

            Beliau menggambarkan seekor anjing yang kurus dan bulunya berwarna kelabu yang selalu menjelirkan lidahnya sambil termengah-mengah. Beliau kemudiannya menggambarkan anjing tersebut dipelihara untuk menjaga istana atau rumah tuannya yang berbadan gemuk, anjing tersebut sangat setia, menyerah dan menerima apa sahaja kemahuan tuannya. Ungkapan syair beliau tersebut adalah logik dan munsabah meskipun berdasarkan pengalaman pembaca sendiri tanpa perlu mengalami sesuatu peristiwa sebagaimana yang beliau gambarkan. Sehubungan dengan itu, apabila diteliti tentang konsep "anjing" dalam baris pertama aspek logik pada anjing dan gagasan yang seterusnya boleh diterima akal. "Anjing itu kurus kelabu" boleh membawa maksud yang jelas sekiranya ditambah beberapa kata yang akan membawa maksud yang jelas misalnya penambahan "berbadan" untuk melengkapkan kata sifat "kurus" dan kata "berwarna" melengkapkan kata sifat "kelabu". Dengan penambahan itu, pada baris pertama ayat lengkap yang ialah "Anjing itu berbadan kurus dan berwarna kelabu". Binaan ayat lengkap pada baris pertama sajak "Anjing itu" membuktikan konsep "anjing" yang digunakan oleh Usman Awang boleh dihubungkan dengan gagasan atau konsep yang lain dalam satu ayat yang sama.
            Perkara tersebut menggambarkan beliau berjaya menghasilkan karya-karya yang boleh dibuktikan dengan kebenaran dan realiti yang kemudiannya digarap dan disunting menjadi sebuah seni yang menakjubkan. Karya beliau kelihatan bernyawa melalui cara dan teknik pemilihan diksi,  untuk mewakili sesuatu yang pada asasnya tidak mempunyai estatika dalam seni. Contohnya dalam karya beliau yang berjudul "Ayah belum pulang", beliau menceritakan sesuatu yang sangat hidup yakni penantian anak-anak kepada seorang bapa yang  menggambarkan anak-anak tersebut mengharapkan ayahnya membawa aiskirm. Kemungkinan Usman Awang pernah melalui pengalaman sedemikian kerana setiap diksi yang digunakan semuanya melibatkan ayat logik iaitu realiti sebuah peristiwa. Misalnya dalam rangkap kedua sajak "Ayah belum pulang".

Betapa ayah tak pulang-pulang,
penjual aiskrim lalu berkali ulang,
nanti nak, ayah di perjalanan,
tapi berapa lama menanti, ayah masih tak tiba lagi.

            Rangkap tersebut  menggambarkan seorang ayah yang dalam perjalanan pulang sedang dinantikan anaknya dirumah. Melalui rangkap tersebut, boleh dikatakan setiap rangkap memiliki unsur logik yang menjadi sifat seseorang manusia terutamanya pada kata nama dan kata kerja seperti ayah, penjual aiskrim, pulang, lalu, menanti dan tiba. Begitu juga dalam rangkap yang seterusnya Usman Awang terus-menerus menggunakan unsur logik sebagai unsur utama menghidupkan cerita yang beliau gambarkan dan fikirkan. Sekiranya diteliti pada rangkap tersebut, meskipun unsur logik digunakan untuk mengembangkan cerita, namun seni bahasa tetap dapat dirasai oleh pembaca. Misalnya pengulangan kata "nanti" dalam dua sudut makna yang berbeza iaitu "nanti" yang membawa maksud arahan dan "menanti" yang bermaksud perbuatan menunggu seseorang iaitu seorang ayah dalam rangkap tersebut. selain itu, dalam karya "Ayah belum pulang" beliau tidak lagi terikat dengan gaya bahasa pantun mahupun ciri puisi Melayu tradisional tetapi telah dihalusi dengan unsur prosa naratif yang lebih mendekati lagu.
            Selain itu, dalam syair beliau yang berjudul "Boestamam" juga di sampaikan berdasarkan kehidupan seorang tokoh politik di Tanah Melayu semasa era penjajahan British. Nama sebenar watak "Boestamam" adalah Abdullah Thani bin Raja Kechil yang juga dikenali sebagai Ahmad Boestamam. Ketokohan beliau dalam bermula dengan kerjayanya sebagai seorang penulis yang sangat berbakat besar dan prolifik. Usman Awang berjaya menjadikan riwayat ketokohan beliau sebagai sebuah karya seni yang sangat baik. Usman Awang dalam teknik penyampaiannya menggunakan unsur logik selain unsur seni bahasa berjaya membawa pembaca untuk mengenali Ahmad Boestamam dengan menimbulkan kesan kepada pembaca dan pendengarnya. Misalnya pada rangkap pertama  dan kedua Usman Awang menceritakan latar belakang kelahirannya sebagai demikian;
Pada suatu bening pagi,
tiga puluh november tahun seribu sembilan ratus dua puluh,
matahari menyepuhkan sinar,
angin sepoi menyampaikan kabar,
untuk keluarga sederhana Kampung Behrang Ulu,
daerah Tanjung Malim negeri Perak,
seorang putera dilahirkan.

kecilnya bernama Abdullah Sani bin Raja Kechil,
besarnya bergelar Ahmad Boestamam.

            Seluruh rangkap pertama dan kedua di atas merupakan sebuah kebenaran dan realiti kerana maklumat yang disampaikan adalah fakta yang sahih menurut biografi dan sejarah hidup Ahmad Boestamam. Oleh itu, dapatlah kita kenal pasti bahawa beliau dalam penghasilan karya seni berjaya menjadikan unsur logik sebagai satu gaya penyampaian yang menarik dan memiliki nilai estatika tersendiri dalam dunia sastera. Ketiga-tiga sajak yang dibincangkan membuktikan bahawa dalam karya-karya Usman Awang, unsur logik merupakan salah satu gaya dan teknik yang digunakan. Penggunaan unsur logik sebagai ciri istimiwa dalam sesebuah karya yang dihasilkan oleh beliau memperlihatkan kewibawaan beliau dalam berkarya bukan sahaja mahir menghasilkan karya berunsur mitos, analogi cerita dan khayalan tetapi juga perkara-perkara realiti yang dialami oleh setiap insan. Unsur logik yang diguna pakai oleh beliau terutamanya dalam sajak "Boestamam" memberikan makna dan martabat baharu kepada sesuatu yang dianggap perkara biasa dalam masyarakat.
            Sastera tidak dilahirkan dalam kekosongan sosial. Swingewood (1972) memetik pendapat Wilbur Scott yang menyatakan bahawa sastera tidak lahir daripada kekosongan. Swingewood (1972) sendiri berpendapat bahawa karya sastera adalah refleksi sosial. Ertinya, karya sastera merupakan cerminan sosial yakni gambaran akan realiti masyarakat semasa zaman karya itu dihasilkan. Sekiranya diperinci dengan mendalam ketiga-tiga karya Usman Awang yang disebutkan dapatlah diringkaskan ianya bertepatan dengan apa yang disebutkan oleh Swingehood bahawa sesebuah karya tidak boleh tidak perlu mengadaptasi gambaran sosial dan masyarakat semasa ianya dihasilkan. Aspek logik sentiasa menjadi keutamaa seseorang penulis dalam menghasilkan karya terutamanya dalam hal-hal yang bersangkutan dengan masyarakat. Lim Swee Tin (1999), berpendapat bahawa kebanyakan karya Usman Awang membawa persoalan menentang penjajahan, mengkritik golongan feudal dan kapitalis yang menjadi permasalahan yang perit dalam masyarakat ketika zaman penjajahan British.
           
Diviasi semantik dalam karya Usman Awang

            Di samping penggunaan unsur logik dalam karya, Usman Awang juga tidak terlepas daripada menggunakan unsur diviasi terutamanya diviasi semantik. Diviasi semantik ialah penyimpangan makna yang dilakukan oleh penulis untuk menyatakan maksud yang sebenar menggunakan sesuatu yang tidak mempunyai kaitan secara langsung. Setiap puisi  membawa maksud kedua disamping makna literal yang wujud di permukaan susun baris ayat atau susun lapis stanzanya. Beberapa kemungkinan konotasi serta penafsiran simbolik juga memerlukan pemerhatian pembaca. Kerana itulah sebenarnya yang dikatakan sebagai sifat puisi Melayu yang terlalu banyak mengandung imejan, keindahan bahasa, bahasa kiasan, ibarat serta perlambangan. Apabila memperkatakan tentang stail sebagai satu gaya dari norma tatabahasa, sebenarnya karya sastera adalah sebuah karya kreatif yang punya ciri-ciri penulisan dan penciptaan tertentu dan tidak boleh dibabitkan penglihatan itu dengan hukum tatabahasa atau gaya bahasa yang rigid seperti penulisan deskriptif dan non-kreatif (Sahlan Mohd. Saman, 1983).
            Dalam karya Usman Awang, beberapa bukti yang mengandung unsur diviasi semantik boleh dibincangkan antaranya pada rangkap kedua dalam sajak "Kekasih".

Akan kutenun awan-gemawan,
menjadi selendang,
menudungi rambutmu.

            Berdasarkan rangkap sajak tersebut, aspek logik berdasarkan konsep dan gagasan konsep tidak dititikberatkan oleh Usman Awang. Konsep "awan" yang dihubungkan dengan sifat "awan" tidak mempunyai kaitan dan tidak mengikut norma realiti yang sebenar. Jika ditafsir pada lapisan pertama atau makna literal, tentu akan dipersoalkan tentang sifat "awan" yang dihubunghkan dengan kata "tenun", "selendang", "tudung" yang kelihatan tidak selari pada  konsep yang sebenarnya. Namun apabila kita menafsirkannya berdasarkan makna konotasi yakni makna lapis kedua, kemungkinan kita akan menemukan maksud yang sangat kuat dan teguh berdasarkan judul sajak sekalipun, tambahan pula akan ditemukan unsur logik dan realiti yang berlaku. Maksud kedua yang boleh diterima sebagai kebenaran adalah sifat manusia yang sedang bercinta akan sanggup melakukan apa saja untuk pasangannya. Tambahan pula, memang adat bercinta seseorang akan berjanji seribu bahasa kepada pasangannya untuk meraih kasih dan sayang yang tidak berbelah bahagi. Oleh itu, pada rangkap kedua sajak "Kekasih" diviasi semantik merupakan satu gaya penyampaian yang mampu menarik perhatian pembaca.
            Di samping itu, dalam sajak "Boestamam" ditemukan unsur diviasi semantik pada beberapa baris sajak misalnya dalam baris 21, 22 dan 23;

Maka bergurulah ia pada pengalaman,
bergurulah ia pada sejarah,
bergurulah ia pada kehidupan rakyat,

            Dalam ketiga-tiga baris sajak di atas, persoalan pertama yang timbul adalah hubungan antara konsep dengan gagasan konsep yang menentukan sama ada binaan frasa tersebut boleh dikategorikan sebagai logik atau sebaliknya. Kata "ia" pada setiap rangkap merupakan subjek yang merujuk kepada watak "Boestamam" yang dihubungkan dengan kata "pengalaman", "sejarah" dan "kehidupan rakyat" sebagai predikat atau gagasan konsep. Hubungan gagasan tersebut tidak boleh dianggap sebagai logik kerana kata "bergurulah" merujuk kepada proses belajar yang melibatkan pemelajaran dan pengajaran di dalam kelas sebagaimana konsep asal seorang guru yang mengajar dan mendidik anak murid. Kata "pengalaman", "sejarah" dan "kehidupan rakyat" tidak mempunyai hubungan secara langsung dengan istilah "guru" dalam erti kata yang sebenar. Namun apabila diteliti maksud lapis kedua pada setiap rangkap, kata "bergurulah" sebenarnya merupakan perlambangan yang digunakan oleh Usman Awang untuk mewakili "mengambil iktibar"dan "menjadikan teladan" . Jika kata "bergurulah" digantikan dengan "mengambil iktibar" maka kita dapat memahami maksud ayat sebagai demikian, "maka mengambil iktibar ia(Boestamam) pada pengalaman" atau Boestamam mengambil iktibar daripada pengalaman atau mengambil iktibar daripada sejarah. Dengan demikian kita dapat memahami maksud sebenar yang ingin disampaikan oleh Usman Awang terutamanya gaya penyimpangan makna dalam baris yang disebutkan.
            Sahlan Mohd. Saman (1983), berkesimpulan bahawa pencipta karya kreatif tetap sensitif terhadap alam dan bahasa yang mengguna pakai dan menerima hal-hal kelainan, lencongan, atau pola diviasi sebagai gaya penulisan. Berdasarkan penyataan Sahlan Saman yang disebutkan, Usman Awang juga semestinya mengguna pakai dan menerima hal-hal kelainan, lencongan dalam penghasilan karya yang berkaitan dengan sesuatu yang benar-benar wujud sebagai gaya penulisannya. Contoh lain yang boleh dibincangkan adalah pada baris tiga dan  empat dalam syair “Salam Benua”;

mereka merompak kita dengan undang-undangnya,
peluru dikirimkan dalam bungkusan dollarnya,
           
            Dalam baris tiga dan empat, boleh dilihat penggunaan kata “merompak” yang melencong daripada maksud sebenar. “merompak” dengan maksud yang lazim bermaksud mengambil sesuatu dengan paksaan dan pada kebiasaannya yang sering menjadi sasaran rompakan ialah wang dan harta bernilai. Namun dalam baris ketiga Usman Awang menggunakan kelainan diksi untuk menggambarkan sesuatu yang pada dasarnya tiada kaitannya dengan rompakan wang atau harta tetapi merujuk kepada “kita” yakni masyarakatnya pada ketika itu. Bahasa yang digunakan bernada keras digabungkan dengan sesuatu yang bersifat lembut “undang-undangnya” memperlihatkan gaya penyimpangan yang menarik dalam menyatakan pendapat berkaitan dengan ketamakan dan kerakusan pihak tertentu. Selain itu, “peluru” dalam baris yang seterusnya dihubungkan dengan istilah “dikirimkan” seakan-akan mengiyakan bahawa peluru tersebut merupakan sesuatu yang tidak melanggar undang-undang bahkan dibenarkan. Namun demikian, “bungkusan dollarnya” kemudiannya digunakan untuk mengubah maksud “peluru dikirimkan” seolah-olah perbuatan “khianat” atau “pengkhianatan” berlegar-legar dalam lingkungan “peluru dikirimkan” yang kemudian menggambarkan maksud mengkritik. Gaya penggunaan dan pemilihan kata yang menyimpang telah membuatkan Usman Awang berjaya mengkritik dan mempersoalkan dengan lantang penjajahan British dengan menggunakan kata yang bersifat halus dan lembut.
            Berdasarkan perbincangan yang dikemukanan, Usman Awang dalam penghasilan karya telah menggunakan unsur logik meskipun beliau kadang-kala menggunakan penyimpangan atau diviasi semantik. Kebijaksanaan beliau mengolah sajak untuk tujuan menentang penjajahan telah berjaya menaikkan semangat kemerdekaan dalam kalangan masyarakat Melayu ketika itu, terutamanya karya beliau yang dihasilkan sebelum kemerdekaan. Lim Swee Tin (1999) berpendapat bahawa bahawa Usman Awang bertanggung jawab menulis puisi sejajar dengan aspirasi dan ideologi ASAS 50 yang memperjuangkan “seni untuk masyarakat”.
            Aspek logik dalam karya Usman Awang telah dibuktikan melalui tema-tema sajak beliau yang mengaitkan kehidupan masyarakat terutamanya persoalan perjuangan. Kerana pengarang adalah eleman masyarakat yang menggambarkan realiti sosial semasa yang wujud. Rene Wellek (1970), menjelaskan sastera dapat memperlihatkan world view sesuatu masyarakat.
             
Kesimpulan
            Usman Awang merupakan seorang pejuang kemerdekaan dan pencinta seni terutamanya puisi Melayu yang bersifat intelektualisme. Kelebihan beliau mengaitkan kehidupan realiti dalam kebanyakan karyanya telah menimbukan kesan yang mendalam kepada pembaca. Kejayaan beliau dalam dunia seni sering dikaitkan dengan kebolehannya memadukan rasa gembira dan sedih, marah dan tenang, kebenaran dan khayalan sehingga kadang-kadang dalam kesedihan tragedi pembaca dapat merasakan keindahan hidup.
            Sehubungan dengan itu, beliau berjaya menggunakan penyimpangan bahasa sebagai gaya dalam menghasilkan karya yang bersifat logik dan realiti.  Karya yang dihasilkan sering berkait rapat dengan masyarakat Melayu sebelum, semasa dan selepas kemerdekaan. Sebelum kemerdekaan Tanah Melayu, Usman Awang dikesan menggunakan sepenuhnya seni karya sebagai medium untuk memperjuangkan hak dan perjuangan rakyat yang ditindas oleh penjajah British. Tema perjuangan dan pembangkitan merupakan tema yang merujuk terus kepada realiti kehidupan masyarakat Melayu. Dengan itu, dapat disimpulkan bahawa karya-karya Usman Awang mengandung aspek logik sebagai gaya beliau dalam penulisan sajakm dan puisi.
            Sajak beliau yang dikenal pasti menggunakan aspek logik sebagai gaya termasuklah, Anjing Itu (1950),  Ayah Belum Pulang (1961), Salam Benua (1970), Kekasih (1971), dan Boestamam (1983). Kelima-lima sajak yang dikaji mengandung aspek logik sebagai gaya penulisan.