Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, liberalisme
bermaksud fahaman yang liberal, iaitu fahaman atau pendirian yang inginkan
demokrasi serta kebebasan dalam bidang ekonomi. Maksud yang diberikan dalam Kamus
Dewan tersebut bersifat atau berpandangan bebas, terbuka kepada semua aspek
termasuk politik dan ekonomi, sosial dan aspek-aspek kehidupan yang lain. Pada
dasarnya liberal yang diperkenalkan oleh tokoh Eropah bukan sahaja dalam bidang
tertentu tetapi lebih menyeluruh dan luas meliputi aspek kehidupan.
Manakala liberalisme dari segi etimologinya dipinjam daripada bahasa
Latin iaitu liber yang bermaksud bebas dan sering kali dikaitkan dengan
perkataan Inggeris liberty dalam konsep kebebasan. Orang Inggeris menambah
bahawa makna yang sesuai untuk liberty ialah bebas dari sekatan bersuara
dan perlakuan. Dengan kata lain, seseorang atau kumpulan masyarakat bebas
menyuarakan apa sahaja pendapat dan melakukan perkara yang difikirkannya betul.
Walau bagaimanapun, bermula abad Ke-16, perkataan liberalisme mulai diberikan
maksud yang lebih murni iaitu bermaksud bebas dari perjudis atau toleransi
sebagaimana yang dikarang oleh Edward Gibbon dan tokoh-tokoh liberalisme yang
lain.
Tokoh yang bertanggung jawab dalam melahirkan ideologi liberalisme
adalah seorang warga yunani yang bernama Solon (639-559 s.m) sebagaimana yang
dinyatakan oleh seorang penulis yang bernama Plutarch. Solon menurut beliau
telah memperjuangkan isu pengampunan hutang kerana kebanyakan rakyatnya yang
miskin harus mengadaikan kebebasan mereka kerana hutang. Gerakan pemikiran
iaitu liberalisme mulai berkembang di Eropah sejak abad Ke-15 iaitu sejak Rene
Descartes (1596-1650) menulis tentang asas falsafah liberal yang cenderung
kepada menggunakan akal fikiran sebagai asas kehidupan. Keberanian Descartes
disusuli pula dengan dakwaan daripada Benedictus de Spinoza yang mengandaikan
bahawa semua alam semesta adalah tuhan atau istilahnya iaitu pantheisme yang
bermaksud semua unsur adalah tuhan.
Sejak zaman pencerahan Eropah fahaman liberalisme kembali bergiat aktif
dengan beberapa pelepor seperti Niccolo Machiavelli yang telah mengarang banyak
buku berkenaan ideologi liberalisme.
Pada akhir abad Ke-17 muncul pula John Locke, Thomas Paine, David Hume dan
Herbert Spencer yang masing-masing mengarang buku yang mengkaji perjuangan
kebebasan, walaupun di antara mereka mempunyai sedikit perbezaan dalam
memberikan kesimpulan namun masih berpegang pada asas memperjuangkan kebebasan.
Liberalisme mempunyai beberapa aliran yang berlainan namun masih
bertapak kepada asas yang sama iaitu kebebasan. Dalam fahaman liberalisme
terdapat empat aliran yang utama iaitu liberalisme politik, liberalisme sosial,
liberalisme ekonomi dan liberalisme agama. Liberalisme politik menekankan
perjanjian sosial dengan mempertimbangkan rakyat sebagai tujuan dan matlamat
utama politik seperti menekankan kedaulatan undang-undang dan demokrasi
liberal.
Liberalisme budaya pula menekankan kepada cara hidup dan perasaan hati
termasuklah kebebasan seksual, kebebasan beragama dan pemahaman. Secara
mudahnya, liberalisme budaya menolak peraturan atau undang-undang kerajaan atau
badan berkanun yang bertanggung jawab menyekat kebebasan dalam mengamalkan cara
hidup bebas dalam semua aspek. Liberalisme ekonomi atau juga dikenali sebagai
liberalisme klasikal atau manchaster. Fahaman ini menyokong dan merupakan asas
kepada ekonomi kapitalis laissez-faire. Manakala liberalisme sosial pula
berkait rapat dengan kesamarataan antara semua rakyat terutamanya pelajaran,
peluang perkerjaan dan perlindungan.
Kesimpulannya, fahaman liberalisme bukanlah ideologi baru tetapi sudah
bertapak sejak ribuan tahun dahulu dalam kalangan masyarakat dunia. Fahaman ini
secara total menolak sebarang kekangan dan halangan dalam menyuarakan pendapat
dan melakukan sesuatu yang dirasakan benar.
No comments:
Post a Comment