-Peminangan atas pinangan
Para Ulama bersependapat menyatakan
bahawa haram melakukan peminangan ke atas seseorang perempuan yang telah
menjadi tunangan orang atau telah memberi persetujuan dengan peminangan
tersebut. Berdasarkan persetujuan tersebut, maka diharamkan ke atas sesiapapun lelaki melakukan peminangan ke atas perempuan itu kerana telah menjadi tunangan orang.
Sebagaimana sabda Rasulullah SAW;
“Tidak harus bagi seseorang
lelaki meminang ke atas pinangan saudaranya, sehingga dia berkahwin dengan
perempuan itu atau dia (perempuan) putuskan tunang.”
(Diriwayatkan
oleh al-Bukhari dan Nasa’i)
Larangan tersebut adalah untuk
mengelakkan berlaku permusuhan antara orang pertama dengan orang kedua.
Pinangan kedua bolah merosakkan pinangan orang yang pertama melainkan pihak
perempuan memutuskan pertunagan terlebih dahulu sebelum pinangan kedua dilakukan.
Maka tidak menjadi kesalahan bagi lelaki atau perempuan untuk memutuskan
pertunangan sama ada dengan beradab atau tidak kerana akad perkahwinan adalah
ikatan sepanjang hayat. Sekiranya perkahwinan tetap berlaku dengan pasangan
yang difikirkan tidak sesuai, maka mereka akan hidup dalam keadaan sengsara seumur
hidup.
Oleh sebab itu, adalah diharuskan
kepada seseorang memutuskan pertunangan sebalum perkahwinan, kerana pertunangan
bukanlah satu ikatan yang tidak boleh diputuskan. Bahkan Islam memberi kebebasan
sepenuhnya kepada setiap individu untuk memilih bakal pasangan masing-masing
supaya tidak terjebak dengan perkahwinan dengan mereka yang tidak sesuai dan
tidak serasi.
Akan tetapi jika pihak perempuan
masih belum memberikan sebarang persetujuan terhadap pinangan tersebut, sama
ada berdiam diri atau berfikir atau berbincang dengan ahli keluarga, maka
keadaan tersebut tidak dikatakan bertunang, bersandarkan kepada Hadis yang
diriwayatkan oleh Fatimah binti Qias;
“Fatimah binti Qias berjumpa
Rasulullah s.a.w lalu menceritakan bahawa Mu’awiyah dan Abu Jahm telah
meminangnya, Baginda bersabda: Mu’awiyah seorang yang miskin tidak berharta,
manakala Abu Jahm pula seorang yang senantiasa meletakkan tongkat di atas
tengkuknya (garang dengan isterinya ataupun orang tua), maka kahwinlah dengan
Usamah bin Zaid.”
(Muttafaq ‘Alaih)
Hadis tersebut menerangkan bahawa
Fatimah binti Qias menceritakan kepada Rasulullah s.a.w tentang pinangan yang
dibuat oleh Mu’awiyah dan Abu Jahm terhadap dirinya dan belum membuat keputusan
terhadap pinangan tersebut. Maka Rasulullah s.a.w mencadangkan kepada Fatimah
supaya berkahwin dengan orang ketiga iaitu Usamah bin Zaid. Jelasnya pinangan yang belum dipersetujui tidak mengharamkan orang
lain melakukan peminangan ke atas perempuan tersebut.
Mazhab Maliki menambah dengan
menyatakan bahawa diharamkan membuat peminangan ke atas perempuan yang telah
menaruh minat kepada seorang lelaki yang tidak fasiq, sama ada lelaki tersebut
berkuasa menyediakan mas kahwin mahupun tidak. Tetapi jika seseorang perempuan
menaruh minat terhadap lelaki yang fasiq, maka tidaklah menjadi halangan kepada orang yang tidak fasiq atau orang yang tidak diketahui latar
belakangnya untuk meminang perempuan tersebut asalkan lelaki itu lebih baik
daripada lelaki yang fasiq tersebut.
Wallhu'alam..
Wallhu'alam..
No comments:
Post a Comment