Saturday, 6 April 2013

Perkahwinan di Alam Pengajian



            Maksud perkahwinan ialah akad yang menghalalkan di antara lelaki dengan perempuan hidup bersama dan menetapkan tiap-tiap pihak daripada mereka hak-hak dan tanggungjawab. Dalam erti kata lain, suatu akad yang menghalalkan persetubuhan dengan sebab perkataan yang mengandungi lafaz nikah, perkahwinan dan sebagainya. Di dalam Al-Quran terdapat banyak ayat-ayat yang menyebut mengenai pensyariatan perkahwinan dianjurkan secara langsung atau tidak langsung kepada manusia sesuai dengan tuntutan fitrah semulajadinya. Perkahwinan merupakan salah satu tuntutan agama Islam yang sangat dianjurkan kepada umatnya. Allah berfirman dalam surah An-Nisaa’ ayat tiga yang bermaksud;



“Dan jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil (bilah menikah) anak-anak yatim, maka nikahilah wanita-wanita (lain) yang kamu senangi, dua, tiga atau empat. Tetapi, jika kamu takut tidak dapatberlaku adil, maka seorang sajalah, atau hamba sahaya yang kamu miliki.Yang demikian itulah yang lebih memungkinkan kamu terhindar dari berlaku sewenang-wenangnya.”

Menurut Kamus Dewan Bahasa Edisi Keempat, nikah diertikan sebagai akad iaitu perjanjian yang mengandungi lafaz ijab dan qabul yang menghalalkan pasangan lelaki dan perempuan untuk melakukan persetubuhan.

Dalam membicarakan perihal pernikahan maka terdapat beberapa keadaan yang memboleh perkahwinan ini dilangsungkan atau ditangguhkan. Seseorang diwajibkan untuk berkahwin sekiranya seseorang itu mempunyai keupayaan dari segi kewangan untuk membayar “mahar”(mas kahwin) dan mampu menyediakan nafkah isteri lahir dan batin. Beliau juga tidak berniat untk menganiya isterinya selama berumah tangga. Di samping itu, beliau juga yakin akan terdorong melakukan maksiat (zina) di sebabkan runtunan nafsu yang kuat jika tidak berkahwin.

Seterusnya seseorang yang berkemampuan dari segi zahir dan batin namun boleh menahan diri daripada melakukan maksiat maka sunat baginya untuknya melangsungkan perkahwinan di usia muda. Manakala, jika seseorang yang yakin tidak akan melakukan zina jika tidak berkahwin serta mampu maka harus baginya untuk bernikah.

Apabila seseorang itu bimbang jika dia berkahwin akan menzalimi isterinya. Di samping itu, dia mempunyai kelemahan fizikal yang tidak mampu memberikan nafkah batin kepada isterinya walaupun dari segi kewangan beliau mampu dan juga makruh berkahwin sewaktu negara sedang menghadapi peperangan. Manakala bagi seseorang yang tidak dapat menunaikan kewajipan-kewajipan terhadap isterinya lahir dan batin dan mempunyai keyakinan akan menganiaya dengan itu haram keatasnya untuk berkahwin.

            Perkahwinan di alam pengajian memberikan pelbagai kelebihan kepada pasangan tersebut, malahan juga kepada persekitaran yang mereka hadapi selepas berkahwin. Antara kelebihan tersebut ialah:

Mengelakkan zina dan gejala maksiat

Pemuda yang berkemampuan  bernikah amat digalakkan untuk mendirikan rumah tangga untuk mengelakkan mereka terjebak dengan perbuatan zina. Sebagaimana yang kita sedia maklum bahawa perbuatan zina dalam kalangan pemuda dan pemudi kini semakin meningkat, lihatlah sahaja di dada-dada akhbar, kita sering digemparkan dengan isu buang bayi yang dilakukan oleh para pemudi. Hal ini disebabkan kehadiran pelbagai laman sosial maya yang memudahkan pemuda dan pemudi untuk mencari pasangan dan berkenal-kenalan tanpa mempunyai sekatan, umpamanya laman facebook, tweeter, cupid, sistem pesanan ringkas dan sebagainya. Perkembangan ini sedikit demi sedikit mendedahkan seterusnya menjerumuskan golongan remaja kepada perlakuan seks bebas, pergaulan melampau, gejala check in dan sebagainya. Hal demikian berlaku apabila mereka sewenang-wenangnya meluahkan perasaan, meluahkan keinginan, meluahkan nafsu dan kemudiannya melampiaskannya dengan gejala zina yang merosakkan masyarakat. Maka wajarlah langkah mencegah seperti perkahwinan di alam pengajian ini diamalkan oleh masyarakat kita. Berdasarkan sunnah Nabi, kita akan dapat mengelakkan pelakuan zina dan maksiat dek kerana pantulan hawa nafsu yang meluap-luap dalam diri, sebagaimana sabda Nabi yang bermaksud;



“Wahai generasi muda, barangsiapa di antara kamu telah mampu berkeluarga hendaknya ia kawin, karena ia dapat menundukkan pandangan dan memelihara kemaluan. Barangsiapa belum mampu hendaknya berpuasa, sebab ia dapat mengendalikanmu.”

            Di samping itu, pernikahan di alam pengajian juga akan menyelamatkan sesebuah keluarga daripada fitnah, keaiban dan cemuhan masyarakat apabila anak mereka melakukan perkara-perkara ke arah zina seperti berdua-duaan, berpeluk-pelukan, dating, berpegang-pegangan tangan dan sebagainya. Perlakuan tersebut kini menjadi darah daging generasi muda bahkan semakin berani melakukannya di khalayak ramai. Perbuatan yang tidak menurut ajaran islam sedemikian akan melahirkan generasi yang dianggap sebagai jahiliah moden sehingga dilaknat oleh Allah SWT. Kerana terdapat juga segelintir remaja yang sudah berkemampuan untuk melangsungkan pernikahan tetapi enggan melakukannya kerana ini memuaskan nafsu dan keinginnya dengan hubungan yang tidak sah. Golongan yang  berbuat sedemikian selalunya cenderung untuk melakukan gejala maksiat seperti menggauli pelacur dan sebagainya. Maka tuntutan untuk mendirikan rumah tangga adalah wajib ke atas mereka untuk mengelakkan perbuatan zina dan gejala maksiat. Rasulullah sudah mengingatkan kepada kita tentang keengganan untuk melangsungkan pernikahan sekiranya berkemampuan merupakan satu pengkhianatan terhadap sunnahnya, sebagaimana sabdanya yang bermaksud;



"Kamu berkata begitu, ingatlah demi Allah sesungguhnya aku adalah orang yang paling takut kepada Allah dan yang paling taqwa kepada-Nya, tetapi aku berpuasa dan kadangkala tidak berpuasa; aku sembahyang dan aku tidur; dan juga kahwin dengan perempuan. Barangsiapa tidak suka dengan sunnahku, dia bukanlah pengikutku".


Menggalakkan perkahwinan Khitbah

“Barang siapa di antara remaja berkahwin dalam usia muda ,maka menangislah syaitan . Dan ia (syaitan) mengeluh, “Aduh celaka aku, agamanya telah dipelihara dari godaanku .” HR. Ibnu ‘Addi.

            Berpandukan hadis di atas, sesungguhnya, setiap perkahwinan yang didirikan, maka menyebabkan syaitan bersedih kerana manusia tersebut telah menutup pintu maksiat bersama pasangan yang sah  melalui pernikahan. Syaitan pula tidak dapat menggoda manusia untuk melakukan maksiat.

Di antara kelebihan dan keistimewaan perkahwinan di alam pengajian adalah menggalakkan perkahwinan secara nikah khitbah. Nikah khitbah juga turut dikenali sebagai nikah gantung. Nikah khitbah adalah sama dengan nikah biasa mengikut hukum dan perundangan Islam yang terdiri daripada 5 rukun iaitu suami, isteri, wali, saksi dan ijab dan qabul. Namun begitu, yang membezakan nikah khitbah dan nikah biasa adalah, nikah khitbah pasangan suami dan isteri tidak tinggal sebumbung atau tinggal bersama dalam tempoh-tempoh tertentu atas sebab beberapa keadaan. Antaranya ialah, masih menuntut di pengajian, tidak mempunyai kemampuan untuk menyewa rumah dan belum bersedia untuk menanggung komitmen kehidupan berumahtangga. Pernikahan ini berkaitan dengan bebanan nafkah yang tidak diwajibkan ke atas si suami sekiranya kehidupan suami isteri belum berlaku. Walaupun pasangan suami dan isteri dinikahkan secara nikah khitbah, ia tidak menghalang mereka untuk berjumpa seperti makan bersama, keluar bersama dan boleh melakukan persetubuhan. Jika pasangan sudah melakukan persetubuhan, si suami perlu dan wajib menaggung nafkah si isteri.

Membicarakan tentang nikah khitbah ini, salah satu dalil yang digunakan oleh sebahagian ulama’ adalah perkahwinan antara Rasulullah s.a.w dengan Siti Aisyah. Bukhari dan Muslim telah meriwayatkan bahawa Rasulluah s.a.w telah mengahwini Siti Aisyah ketika Siti Aisyah berumur 6 tahun dan mereka telah duduk serumah pada umur Siti Aisyah 9 tahun.

Jumhur Ulama’ berpendapat bahawa nafkah zahir hanya diwajibkan apabila si isteri memenuhi syarat-syarat berikut iaitu isteri menyerahkan diri kepada suami ( berpindah ke tempat suami ) , boleh melakukan istimta' ( mengambil keseronokan ) , jima' ( bersetubuh ) , isteri tidak keluar rumah tanpa izin suami dan seumpamanya .

Dengan ini, nikah khitbah merupakan salah satu alternatif yang boleh diambil jika pasangan ingin mengelakkan berlakunya maksiat ketika masih di alam pengajian. Nikah khitbah adalah sah di sisi undang-undang Islam, oleh itu, nikah khitbah ini juga untuk mencari barakah Illahi. Apabila pasangan bernikah, maka Allah meredhakan kehidupan mereka, malah kehidupan suami dan isteri lebih bahagia dengan perhubungan yang sah dan halal itu.

Hasilnya, dengan melakukan apa yang disukai oleh Allah, menuruti perintahNya dan menjauhi ingkarannya dapat menyempurnakan agama Islam dalam sesebuah sistem kekeluargaan.


Meningkatkan prestasi pelajar untuk lebih cemerlang

Seterusnya, kelebihan dan keistimewaan perkahwinan di alam pengajian adalah ia dapat membantu untuk meningkatkan prestasi pelajar untuk lebih cemerlang. Hal ini dapat dibuktikan dengan pelbagai kejayaan yang banyak dilaporkan di media-media tentang kejayaan akademik mereka.

Pasangan suami isteri yang berkahwin ketika di alam pengajian lebih mendapat semangat baru untuk belajar. Dengan itu, tidak dinafikan bahawa mereka memperolehi keputusan yang cemerlang dalam pelajaran dan peperiksaan. Dengan ikatan perkahwinan, menjadikan seseorang itu lebih fokus dalam mencapai impian. Malahan itu, seseorang yang berkahwin juga lebih tenang jiwanya dan matamat hidup mereka lebih jelas. Dengan sokongan yang diberikan oleh pasangan mereka, membuatkan mereka lebih bersemangat dan focus dalam pelajaran.

Sebagai contoh, sepasang pelajar yang mengambil jurusan yang sama iaitu Diploma Kejuruteraan Elektronik, Siti Hajar Aiyshah Yunus dan suami, Muhammad Suffian A. Rahim. Mereka telah berkahwin pada tahun kedua dan kini telah dikurniakan dua orang anak dan itu tidak menjadi penghalang kepada pasangan ini untuk mencapai kejayaan dalam bidang akademik. Pada Hari Konvekesyen mereka, kedua-dua pasangan ini berjaya memperolehi purata nilai gred kumulatif (CGPA) yang memberangsangkan. Siti Hajar Aiyshah memperoleh CGPA sebanyak 3.68, manakala suaminya pua sebanyak 3.21. Pasangan ini menerima Diploma Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi Graduan Kerjasama dan Program Eksekutif.

Walaupun kedua-duanya mempunyai komitmen yang lain, namun tanggungjawab sebagai seorang pelajar tidak membantutkan mereka untuk lebih berjaya daripada orang lain. Malah, ia juga tidak membebankan mereka.

Pasangan yang berkahwin di alam pengajian saling memotivasikan pasangan mereka untuk lebih berjaya dalam pelajaran. Dengan semangat yang diberikan oleh pasangan masing-masing, ini umpama mereka saling membantu antara satu sama lain agar mereka lebih fokus dalam pembelajaran. Dalam aspek agama, jika pasangan itu belum berkahwin tetapi menjalinkan hubungan yang tidak halal, mereka lebih cenderung untuk melakukan maksiat. Hidup mereka juga tidak tenang, sebaliknya jika pasangan itu sudah berkahwin, mereka lebih tenang kerana mereka terhindar daripada melakukan maksiat yang boleh merosakkan dan menjatuhkan prestasi mereka dalam pelajaran.



Pasangan akan lebih bertanggungjawab

            Permulaan memikul tanggungjawab yang besar, menjadikan seseorang itu lebih bersedia menjalankan tanggungjawab ke atas tanggungan yang dipikulnya. Apabila pasangan yang masih di alam pengajian sudah berkahwin, mereka akan lebih bertanggungjawab kerana mempunyai keluarga untuk diurus. Pasangan akan mengubah sikap yang negatif kepada positif kerana mereka sedar bahawa mereka bukan lagi dibawah tanggungan ibu dan bapa tetapi merupakan tanggungjawab sendiri untuk menjaga keluarga. Pasangan yang masih menuntut sering mengalami masalah membahagikan masa antara belajar dan menjalankan tanggungjawab sebagai suami atau isteri. Oleh itu, masalah tersebut menjadikan mereka lebih bertanggungjawab membahagikan masa sebaik mungkin. Tuntutan masa juga membuatkan mereka lebih fokus dalam pelajaran ketika di kelas dan menyediakan masa yang bermanfaat dalam mengurus rumah tangga.   

            Di samping itu, mereka akan lebih berkomitmen terhadap pelajaran dan rumah tangga. Mereka akan lebih berhati-hati ketika memikirkan cara mengendalikan rumah tangga terutama bagi suami yang perlu menyediakan nafkah kepada isteri dan anak-anak. Seperti firman Allah S.W.T dalam surah An-Nisa ayat 34 yang bermaksud:

“Dan kewajipan suami memberi makan dan pakaian kepada isteri dengan cara yang baik”.

Kebanyakan pasangan yang berkahwin dalam usia muda dan masih dalam pengajian, mereka akan menjadikan cabaran berumah tangga ini sebagai salah satu faktor bagi mereka untuk lebih berpendirian, berdisiplin serta memberi sepenuh perhatian dan tenaga kepada keluarga yang telah terbina. 

            Selain itu, tanggungjawab tegur-menegur serta nasihat-menasihati perlu ada dalam hubungan suami isteri. Teguran secara berhikmah dapat menjaga aib pasangan dan dapat saling perbaiki diri dalam melayari bahtera rumah tangga. Daripada Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim, Sabda Nabi Muhammad S.A.W:

 “Aku berwasiat kepada kamu supaya menjaga wanita dengan sebaik-baiknya kerana mereka dijadikan daripada tulang rusuk dan sebengkok-bengkok tulang rusuk adalah yang dibahagian teratas. Sekiranya kamu biarkan sahaja, dia akan terus bengkok selama-lamanya, justeru, berpesan-pesanlah kepada wanita.”

Daripada hadis tersebut, jelas menunjukkan bahawa suami bertanggungjawab dalam mendidik isteri dengan sebaik-baiknya. Hal ini, suami akan berusaha perbaiki diri dengan ilmu terutamanya ilmu fardhu ain supaya suami dapat mendidik isteri dan zuriatnya. Begitu juga sebaliknya bagi isteri. Isteri perlu menasihati serta menegur suami dengan cara yang sangat berhikmah ketika mereka lupa atau lalai. Tanggungjawab tegur-menegur pasangan dapat membahagiakan dan mententeramkan suasana rumah tangga dan menjadikan mereka sentiasa perbaiki kekurangan diri.

Allah S.W.T berfirman dalam Surah Ar-Ruum ayat 21 yang bermaksud:

 “Antara tanda-tanda kebesaran-Nya, Dia menjadikan untuk kamu pasangan dari jenis kamu sendiri untuk kamu tinggal tenteram di sampingnya dan dijadikan antara kamu kasih sayang dan belas kasihan. Semuanya itu menjadi tanda-tanda bagi orang yang berfikir.”



Dalam potongan surah tersebut, jelas menyatakan bahawa fitrah manusia memerlukan kasih sayang antara pasangan suami isteri. Suami dan isteri bertanggungjawab memberikan kasih sayang antara satu sama lain bagi memastikan kebahagiaan rumah tangga menjadi suatu kenyataan. Sesungguhnya kasih sayang juga merupakan sifat Allah yang sangat dituntut untuk diamalkan bagi hamba-hamba-Nya yang taat. 


Mengejar pahala yang berganda

            Suami dan isteri yang menjalankan tanggungjawab dengan ikhlas, akan diberikan ganjaran pahala oleh Allah S.W.T. Contohnya, suami yang menyediakan keperluan isteri dan keluarganya akan beroleh pahala. Begitu juga isteri yang melaksanakan kerja rumah dengan ikhlas akan diberikan ganjaran pahala, malah jika suami yang mengimami isteri menunaikan solat secara berjemaah sudah pasti akan mendapat ganjaran pahala yang berlibat kali ganda.

Kasih sayang yang terjalin dengan ikatan yang halal sudah pasti mendapat pahala dan reda disisi Allah. Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud “Apabila pasangan suami isteri berpegangan tangan, dosa-dosa akan keluar melalui celah-celah jari mereka”. Bahkan ketika suami isteri memandang wajah antara satu sama lain juga mampu perolehi pahala. Sabda Rasulullah ini jelas menunjukkan bahawa Allah S.W.T meredai dan mengiktiraf hubungan suami isteri dan menjanjikan ganjaran pahala yang sangat besar selagi tidak melanggar larangan-Nya.

 Apabila pasangan suami isteri yang masih dalam pengajian berniat bernikah dijalan dakwah, sudah pasti akan memperoleh pahala yang berganda daripada Allah S.W.T. Sabda Rasulullah S.A.W, “Apabila seseorang melaksanakan pernikahan, bererti dia telah menyempurnakan  separuh agamanya, maka hendaklah dia menjaga yang lain dengan bertaqwa kepada Allah.” (Hadis Riwayat Baihaqi dari Anas bin Malik). Dakwah boleh dijalankan dalam kalangan keluarga mahupun rakan-rakan bahkan orang sekeliling. Contohnya, suami berdakwah kepada isteri dengan menasihati supaya memperbaiki diri dengan mengeratkan hubungan kepada Allah. Isteri atau suami pula bercerita tentang kebahagiaan, ketenangan dan bebas dari maksiat setelah bernikah kepada rakan-rakan mereka. Hubungan bahagia yang diredai Allah itu pula, dapat dilihat oleh masyarakat sekeliling dengan melihat bukti bahagianya hubungan suami isteri tersebut. Secara tidak langsung, suami isteri tersebut telah menyampaikan dakwah dengan meyakinkan masyarakat bahawa perkahwinan di alam pengajian itu dapat mengelakkan murka Allah.

Selain itu, pahala dapat diperoleh daripada sikap pasangan suami isteri tersebut, seperti sikap mengambil berat, berkasih sayang dan sebagainya. Apabila suami menyatakan masalah kepada isterinya, isteri tersebut menasihati dan memberi semangat kepada suami untuk mengharungi dan menyelesaikan masalah tersebut, maka si isteri itu memperoleh pahala. Sikap isteri yang mengambil berat itu, menjadi salah satu punca kekuatan semangat kepada suami. Secara tidak langsung, suami akan berasa lebih tenang disisi isteri dan kasih sayang yang terjalin bertambah erat.
Meringankan beban ibu bapa

Seterusnya, perkahwinan di alam pengajian secara tidak langsung meringankan beban ibu bapa. Tidak dapat dinafikan, setiap ibu bapa di dunia ini pasti akan merasakan perasaan sebegini ketika anak-anak yang selalu ada di hadapan mata pergi melanjutkan pelajaran tidak kira di dalam atau luar negara, jauh atau dekat. Perasaan bercampur-baur antara gembira dan cemas, memikirkan kepentingan masa depan dan keselamatan setiap anak. Hati mereka ibarat pantai yang dilanda badai.

Oleh itu, perkahwinan di alam pengajian seakan telah menjadi adat dalam masyarakat hari ini sekaligus meringankan beban ibu bapa. Mungkin tidak meringankan dari segi kewangan tetapi meringankan soal penjagaan dan keselamatan anak-anak. Perkahwinan di alam pengajian secara tidak langsung telah menetapkan bahawa anak gadis terutamanya kini selamat di bawah jagaan suami. Walaupun berlainan universiti, ianya bukan penghalang untuk kita menafikan tentang hal ini. Perkahwinan akan mendidik jiwa remaja untuk belajar erti tanggungjawab dan komitmen yang lebih. Misalnya, seorang isteri pastinya lebih mengawal tindakan berbeza dengan kelincahan ketika masih gadis.

Selain itu, dunia remaja hari ini semakin mencabar dengan godaan nafsu. Kita tidak dapat menafikan bahawa syaitan itu sentiasa menggoda setiap umat manusia seperti mana yang telah dijanjikan dengan Allah. Godaan yang paling kritikal ialah nafsu. Remaja hari ini telah menganggap hubungan berpasangan atau ‘couple’ adalah lumrah hidup dan seakan telah menjadi satu adat.  setiap saat, setiap waktu, setiap hari, setiap detik, anak muda remaja dan belia kita dibom dari segenap penjuru dengan pelbagai bentuk godaan peluru berpandu yang membangkitkan naluri seksual masing-masing.

Setiap remaja apabila sudah baligh, umur meningkat, tiada godaan sekalipun, keinginan akan timbul juga secara automatiknya. Maka secara logiknya, pasti keinginan seksual itu boleh terangsang berpuluh lipat kali ganda dan berlaku pada tahap yang lebih awal lagi. Masalah pergaulan bebas sangat membimbangkan sehingga berlaku penzinaan. Tidak boleh hendak menyalahkan ibu bapa yang tidak boleh awasi mereka 24 jam, dan tidak boleh hendak menyalahkan anak muda semata kerana cabaran yang melampau sana sini.

Oleh yang demikian, langkah yang perlu diambil untuk menyelesaikan masalah ini ialah bernikah. Hal ini secara tidak langsung meringankan beban kerisauan yang wujud dalam hati setiap ibu bapa. Pernikahan di alam pengajian ini sekurang-kurangnya menjaga spiritual remaja dari dikotori. Maka, ibu bapa harus berusaha mencari jalan atau mengizinkan untuk membolehkan anak-anak muda ini bernikah awal untuk memastikan jiwa dan spiritual anak itu sentiasa bersih. Dan perkahwinan hanya satu-satunya jalan untuk memenuhi keinginan seksual secara sah dan diredhai Allah.


Dan Islam memang menggalakkan anak-anak muda itu supaya bernikah awal. Kerana Islam itu melihat jiwa anak-anak pasti akan terancam lebih-lebih lagi dengan godaan yang datang dari pelbagai arah dalam masa yang sama. Di dalam al-Quran, Allah berfirman:

"Dan kahwinkanlah orang-orang yang bujang di antara kamu. Jika mereka miskin, Allah akan memberi kemampuan kepada mereka..." (24:32)

Memang benar anak muda diajar untuk berpuasa bagi menahan nafsu, menjaga pandangan dan sebagainya, tetapi sampai bila? Bukan mudah untuk mengawal keinginan nafsu, dan mereka ini sentiasa berhadapan dengan godaan terus-menerus, setiap detik, setiap ketika, yang boleh mennyebabkan 'nerve breakdown', jiwa tertekan, anak muda akan susah hendak memberi tumpuan dalam pembelajaran.

Jalan pembuka rezeki

Selain itu, pernikahan juga adalah jalan pembuka rezeki kepada kita. 
Allah juga telah berfirman:

“Dan kahwinilah orang yang sendirian di antara kamu, dan orang yang layak (berkahwin) daripada hamba yang lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan mengkayakan mereka daripada rezeki-Nya. Dan Allah Maha Luas Pemberian-Nya dan Maha Mengetahui.” (Surah al-Nur, ayat 32)

Bantuan kewangan dari ibu bapa yang mempunyai kewangan yang baik. Ibu bapa yang berkemampuan memang digalakkan supaya menyokong anak-anak ni supaya kahwin awal dan bantu yang mana perlu. Kalau Islam itu menggalakkan kita untuk menolong orang susah, orang miskin, apatah lagi menolong anak sendiri sehingga mereka boleh berdikari, pasti banyak dan melimpah-ruah lagi ganjarannya.

Bantuan masyarakat atau pertubuhan. Sekiranya kita mempunyai Islamic organisasi yang menyediakan dana untuk menolong anak-anak ini kahwin awal. Mengikut sejarah , satu ketika seorang lelaki ditangkap dan dibawa ke Saidina Ali atas perlakuan yang tidak sopan. Selepas Ali memberikan hukuman yang sepatutnya, beliau mengahwinkan pemuda ini dengan menggunakan kewangan negara. Maka di sini Saidina Ali telah memberi contoh bagaimana masyarakat boleh menolong orang muda untuk berkahwin.

Perkahwinan tanpa beban kewangan di mana si teruna dan dara itu bolehlah melaksanakan akad sahaja untuk menghalalkan hubungan. Tetapi mereka boleh tangguh dari membuat majlis perkahwinan yang menelan kos itu, mungkin selepas habis belajar, sudah bekerja, kemudian apabila duit sudah banyak, kita boleh meraikannya. Dan mereka ini dibenarkan saling berjumpa kerana mempunyai hubungan yang halal.

 Mereka menjalankan akad dan majlis perkahwinan,tetapi tangguh juga dari menimang anak, dan hidup secara "simple lifestyle" atau sederhana. Maka dengan cara ni juga, mereka dapat memenuhi naluri masing-masing, dan dalam masa yang sama beban kewangan itu dapat dielakkan.

Sekiranya kita khusus untuk ibu bapa mengharapkan anak-anak supaya kewangan mereka seimbang terlebih dahulu selepas itu baru boleh berkahwin, mereka akan mengambil masa yang lama dan berkemungkinan dalam tempoh itu akan berlaku perkara yang tidak diingini.

Maka, apabila kita memahami perspektif dari sudut pandangan Islam yang menggalakkan perkahwinan awal, maka kita boleh lihat bukan perkara mustahil bagi pelajar-pelajar, untuk berkahwin dan dalam masa yang sama meneruskan pelajaran mereka, tinggal bersama di rumah ibu bapa, atau satu bilik yang disewa di universiti. Mereka boleh teruskan kehidupan yang sama mudahnya sepertimana kehidupan mereka sebagai pelajar.

Kahwin awal itu memang digalakkan, tetapi mental dan emosional, ilmu perlu diperlengkapkan supaya masing-masing menyedari tanggungjawab dalam kehidupan berumahtangga. Taqwa, mesti penuh di dada, barulah rumah tangga itu bercahaya.


Kesimpulan

Pernikahan di usia muda merupakan satu tuntutan agama yang seharusnya diamalkan dan diperaktikkan dalam kalangan masyarakat kita. Pelbagai kesan yang telah dibincangkan menjurus kepada kebaikan dan kelebihan apabila mendirikan rumah tangga di usia muda menjamin keimanan dan ketaqwaan diri kepada hukum Allah SWT. Pada dasarnya, anjuran tersebut bertujuan untuk menjaga kehormatan diri, keluarga dan agama agar norma kehidupan yang telah digariskan oleh syarak terus diamalkan untuk memperoleh keberkatan dan keredaan Allah SWT. Kepentingan yang jelas untuk mendirikan rumah tangga dikuatkan dengan hadis nabi sebagaimana sabdanya yang bererti;

            “Wahai pemuda, sesiapa di antara kamu yang telah mampu mmengeluarkan belanja pernikahan, maka hendaklah dia menikah, kerana menikah itu akan menjaga pandangan dan memelihara kemaluan...” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

            Rasullullah telah menganjurkan agar perkahwinan sepatutnya dilakukan oleh lelaki muda sebaik sahaja sudah mempunyai kemampuan untuk mengeluarkan maskahwin. Tuntutan untuk mengadakan pernikahan ini memberi peluang kepada umat manusia yang sememangnya dicipta mempunyai rasa ingin menyayangi, disayangi,saling menyayangi terhadap kaum bertentangan terus murni dan suci tanpa dinodai oleh gejala maksiat yang dibenci Allah SWT.

            Selain itu, ibu bapa seharusnya memainkan peranan untuk membantu dan menuntun anak remaja mereka yang cenderung untuk mendirikan rumah tangga dengan galakan dan bimbingan. Nasihat yang baik berdasarkan pengalaman sepatutnya diberikan kepada anak-anak supaya gejala maksiat dan perkara-perkara keji yang lainnya tidak terus berleluasa. Sehubungan dengan itu, ibu bapa perlulah sentiasa menyatakan sokongan sekiranya anak-anak meluahkan rasa untuk berkahwin awal. Dengan sokongan tersebut maka anak-anak akan dapat melahirkan, menzahirkan serta meluahkan perasaan cinta kepada kaum bukan sejenis dengan cara yang sesungguhnya. Ibu bapa perlulah yakin dengan kekuasaan dan kebesaran Allah SWT untuk menentukan rezeki anak-anak mereka apabila sudah mendirikan rumah tangga kelak. Sesungguhnya, ibu bapa yang meyakini kebijaksanaan Allah akan dibalas dengan anak yang soleh dan solehah kelak sekiranya memudahkan urusan pernikahan anak mereka. Sememangnya Allah Maha kuaasa atas tiap-tiap sesuatu urusan termasuklah berkaitan dengan pernikahan.

1 comment: