Saturday 19 November 2011

Ciri-ciri Melayu Tradisional : Amalan perubatan


Asal usul perubatan tradisional Melayu

   Berdasarkan kajian didapati bahawa tidak terdapat bukti bertulis yang lengkap mengenai asal-usul perubatan tradisional melayu yang dapat menentukan bila dan bagaimana orang-orang melayu mengubati penyakit pada masa lampau. Menurut Gimatte (1915) asal usul perubatan melayu sebagaimana yang diterangkan oleh seorang bomoh dari Kelantan bahawa perubatan tradisional melayu berasal daripada seorang  lelaki yang bernama Akmal Hakim. Namun demikian, satu pendapat menyatakan bahawa perkataan ‘pawang’ pertama kali digunakan di dalam sebuah buku mitos yang menyatakan bahawa  pawang yang pertama adalah Muhammad Saleh (Abdullah, 1927). Kebanyakan pengamal pada hari ini juga memperakui bahawa Lukmanul Hakim merupakan bomoh yang pertama di kalangan menusia. Selain itu, beliau dikurniakan oleh Allah SWT dengan segala pengetahuan mengenai perubatan. Sementara itu, seorang bomoh di Alor Setar mengatakan bahawa sebenarnya Lukhmanul Hakim adalah nama sebuah kitab tetapi beliau tidak dapat mempastikan siapa yang menulis buku tersebut. Walau bagaimanapun terdapat juga penyataan yang mengiktiraf Lukhmanul Hakim sebagai bomoh yang pertama dan mempunyai pelbagai kepandaian khususnya pengetahuan tentang Khasiat tumbuh-tumbuhan dan haiwan.

   Pengamal perubatan tradisional dipercayai mengamalkan shamanisme, iaitu agama primitive penduduk Selat Behring yang berkembang ke Scandinavia, Tibet, China dan akhirnya sampai ke Tanah Melayu. Manakala pengaruh Hindu-Buddha berlaku semasa zaman kerajaan Sri Vijaya yang meluaskan pengaruhnya pada abad ke-13. Oleh itu, Hindu-Buddha banyak meninggalkan kesan khususnya budaya Melayu tremasuklah amalan perubatan. Contohnya istilah dan konsep yang digunakan sehingga ke hari ini iaitu amalan ‘menepung tawar’ batu nisan sebelum dibawa ke tanah kubur (Abdul Majid, 1927). Kedatangan sinar Islam pada akhir Abad ke-14 mengubah sedikit demi sedikit kepercayaan dan amalan dalam perubatan masyarakat melayu. Islam yang bersifat fleksibel memudahkan masyarakat Melayu menerima dengan mudah amalan perubatan yang diperkenalkan oleh Islam. Terdapat banyak buku karangan Arab yang mengandungi amalan perubatan, ilmu hisab dan sebagainya telah di terjemahkan dalam bahasa Melayu. Kesannya, amalan perubatan Melayu menerima banyak unsur-unsur Falsafah Arab dan perubatan Islam yang mana merupakan asas pada penyesuaian kepada unsur-unsur pemikiran Galen (Hairudin Harun, 1990). Ciri-ciri paerubatan tradisional pula merangkumi individu pengamalnya, cara mengamalkannya serta bahan-bahan dan peralatan yang digunakan.



Ciri-ciri perubatan tradisional

1) Pengamal perubatan tradisional    

    Para pengamal perubatan tradisional terdiri daripada lelaki dan perempuan dan mereka digelar dengan pelbagai nama. Pada umumnya mereka digelar sebagai bomoh, dukun, dan pawang. meskipun demikian terdapat persamaan dan perbezaan antara nama-nama berikut. Perbezaan dan persamaan mereka boleh dikenalpasti dari segi gelaran, taraf sosioekonomi dan bagaimana mereka mandapat ilmu perbomohan.

1.1) Gelaran

     Ketiga-tiga gelaran tersebut digunakan oleh orang Melayu secara silih berganti. Pawang bermaksud sihir (magician) dikatakan digunakan meluas di negeri Selangor, Pahang dan Johor. Manakala istilah bomoh digunakan di negeri Kelantan, Kedah, dan Pattani di Selatan Thailand kepada orang-orang yang mengubati penyakit dan terkenali sebagai tukang sihir atau ahli sihir. Sebaliknya, Istilah dukun digunakan di beberapa tempat dan kawasan termasuk negeri-negeri yang menggunakan istilah pawang dan bomoh namun penggunaanya terbatas.

1.2) Pendidikan, Ekonomi dan Keluarga

   Kebanyakan pengamal menyatakan mereka  bersekolah rendah atau tidak bersekolah. Apa yang dimaksudkan ialah mereka tidak mengikuti pendidikan menengah atau tinggi mengikut pengertian sekarang. Namun demikian mereka memang mengikuti pendidikan sekolah di pondok di mana mata pelajarannya terdiri daripada bidang-bidang asas agama seperti fikah, tauhid, dan tasawuf. Selain itu, ada antara mereka yang melanjutkan pengajian ke sekolah Melayu seterusnya melanjutkan pelajaran agama di sekolah agama persendirian atau sekolah kerajaan. Oleh itu, tidak seorang pun antara mereka yang buta huruf malah fasih membaca dan menulis dalam bahasa Arab dan Jawi. Sebagai contoh, bomoh yang bernama Ahmad bin Abdullah berasal dari Kedah Berjaya melanjutkan pelajarannya ke peringkat pendidikan  menengah atas dan melanjutkan pelajaran ke Universiti Kebangsaan Malaysia selama dua tahun.

   Sehubungan dengan itu, ekonomi pengamal perubatan tradisional mempunyai tahap ekonomi yang sederhana. Mereka mempunyai sebuah tanah sama ada didirikan di tapak tanah kepunyaanya atau kepunyaan tuannya. Secara ringkasnya rumah yang dipunyai oleh para pengamal terdiri daripada reka bentuk yang mudah dan ringkas. Sebahagian daripafa mereka mempunyai beberapa buah kereta dan dan motosikal kerana mereka juga menceburi bidang perniagaan seperti menjual barangan runcit dan hasil daripada kemahiran yang mereka miliki.
    Semua bomoh mempunyai isteri dan anak. Mereka mengamalkan cara hidup berkeluarga yang sangat akrab sehinggakan mereka amat prihatin akan ahli keluarga, jiran tetangga dan masyarakat keseluruhannya. Keperihatinan bomoh kepada perkara berhubung kesihatan dan kemaslahatan penduduk didorong oelh kepercayaan kepada Islam dan keimanan kepada Allah serta perkara ghaib yang menjadi rukun iman.
1.3) Gelaran dan Kedudukan dalam Masyarakat

    Kebanyakan bomoh dikenali dengan namanya sendiri, disamping gelaran Tok yang dikaitkan dengan nama mereka misalnya, Tok Mat, Tok Lah. Selain itu, seorang bomoh digelar Bomoh Puaka memandangkan penglibatan mereka dalam kes-kes yang melibatkan hantu dan puaka. Tok adalah singkatan daripada perkataan datuk, gelaran kepada mereka yang mempunyai cucu yang menggambarkan usia mereka yang sudah tua dan berpengalaman.gelaran ini jug hanya dihadkan untuk pengamal lelaki sahaja dan biasanya mereka berumur dalam lingkungan 70 tahun ke atas. Sekiranya pengamal berusia 70 tahun ke atas mereka layak digelar Tok, manakala bagi yang berusia 100 ke atas mereka digelar Tok Man dan Tok Mah bagi pengamal wanita. Manakala bagi pengamal yang berusia 50-60 tahun mereka digelar Pak. Antara mereka yang digelar sedemikian ialah Pak Man, Pak Khamis dan Pak Mail. Selain gelaran Pak masyarakat Melayu mengenakan gelaran Mahaguru kepada bomoh yang dikaitan dengan taraf mereka sebagai guru silat yang berjaya. Selain itu, terdapat dalam masyarakat Melayu mampunyai gelaran Bang yang di gunakan untuk para pengamal yang berusia di antara 40-49 tahun. Misalnya Bang Azid, Bang Wahab manakala dalam kalangan wanita pula di gelar Kak seperti Kak Yah dan Kak The. Gelaran dan kedudukan dalam masyarakat tersebut merupakan tanda penghormatan berdasarkan kebolehan berdasarkan usia dan pengalamannya.

   Disamping itu, lelaki mahupun perempuan yang mempunyai pendidikan agama pula memegang jawatan dalam Jabatan Agama Islam atau sebagai pensyarah Maktab, Universiti dan tenaga pengajar di Sekolah. Mereka termasuk Imam, bilal masjid, pegawai-pegawai agama, guru-guru yang bergelar Ustaz atau Ustazah dan tenaga pengajar al-Quran yang berkhidmat di kampung dan pekan. Mereka selalunya menjadi tumpuan sekiranya kes-kes seperti kerasukan dan ganguan makhlik halus. Mufti yang memegang jawatan tertinggi agama negeri kadangkala ditemui untuk untuk mendapatkan rawatannya dalam kes keuzuran yang berpanjangan. ‘Al-Hafiz’ iaitu seorang yang telah menghafal 30 Juz al-Quran selalunya dijemput dalam majlis-majlis untuk mendapatkan keberkatan dengan pembacaan doa. Bagi golongan berpendidikan agama kebanyakannya menolak secara total penggunaan jampi serapah untuk mengubati sesuatu penyakit dan kes-kes yang tertentu kerana bertentangan dengan agama Islam yang mentauhidkan Allah S.W.T.

2) Proses penyediaan dan Amalan rawatan serta pantang larang menjaga kesihatan.

            2.1) Proses penyediaan

   Terdapat banyak cara para pengamal perubatan tradisional menyediakan bahan untuk tujuan merawat. Namun kebanyakan mereka mencari sendiri bahan mentah yang terdiri daripada tumbuh-tumbuhan, haiwan dan sebagainya dari kawasan hutan, kaki bukit sama ada dekat atau jauh dari tempat kediaman mereka. Setelah berjaya mencari bahan mentah yang dikehendaki, mereka akan dibawa pulang untuk dikeringkan, seterusnya diracik untuk dikeringkan seterusnya. Para pengamal perlu menggunakan tangan dua kerat untuk meracik,mengacip dan menumbuk, namun kemajuan memberikan sedikit kemudahan kepada para pengamal apabila mesin pengisar digunaka secara meluas. Bahan-bahan yang cukup kering dihantar ke Kedai Ubat Cina untuk dikisar menjadi sebuk. Di rumah pengamal akan mencampur sebuk ke dalam kapsul, atau dimasak dengan minyak dan madu untuk dijadiakn makjun.

    Mencari bahan bukanlah suatu kegiatan  yang mudah, di samping pengetahuan tentang pelbagai jenis tumbuhan ianya melibatkan tenaga fizikal. Proses mengumpul dan menyadiakan bahan memerlukan pengamal untuk melapangkan masa yang panjang seperti sehari suntuk untuk meredah sama ada dua atau lebih kawasan hutan mencari akar kayu dan tumbuhan lain. Oleh itu, untuk memudahkan pengamal mereka sering berusaha untuk mencari teman dalam kalangan keluarga atau rakan sekampung. Seorang teman bukan sahaja membantu meringankan beban mencari dan mengangkut bahan dari hutan tetapi juga memberikan pertolongan sekiranya terjadi kemalangan. Selain itu, seorang pengamal perubatan tradisional memerlukan kenderaan untuk tujuan pengangkutan. Pada tahap adunan dan penyediaan ke dalam kapsul atau pek plastik, pengamal selalunya dibantu oleh ahli keluarga. Bahan yang telah siap akan diasingkan mengikut saiz atau bilangan dan keterangan selalunya ditulis atau ditampal di bahagian luar pek plastik. Pada kebiasaanya ubat yang telah siap dijual pada purata harga Rm 7.00 – Rm 10.00 mengikut budi bicara pengamal.

                                   


2.2) Amalan rawatan

2.2.1) Bomoh akar kayu 
Falsafah utama bomoh akar kayu ialah setiap tumbuhan adalah ubat bagi pelbagai jenis penyakit. Falsafah ini bersandarkan kepada pendapat ulama Islam bahawa tumbuh-tumbuhan di muka bumi terdiri daripada 6666 jenis, sama banyaknya dengan ayat-ayat Al-Quran. Bagi bomoh setiap tumbuhan mempunyai zat dan sifat. Seorang bomoh di Teloi Kiri membahagikan zat kepada tiga jenis iaitu zat besi, zat kawi dan zat kapur. Setiap jenis mempunyai warna tertentu seperti jadual di bawah.
Kaitan antara zat, warna dan sifat tumbuhan

Zat
Warna Getah
Sifat
Zat besi
Kelabu
Panas
Zat kawi
Kuning/Jingga
Sederhana
Zat Kapur
Jernih
Sejuk



    Bagi mengenal zat, bomoh harus melihat getah pokok berkenaan. Ini dilakukan dengan menakik batang pokok dan meletakkan sedikit kapur pada tempat yang ditatak. Kemudian dilihatnya perubahan yang berlaku pada warna getah. Misalnya, getah pokok Rencang Besi bertukar kepada hitam setelah dicampur dengan kapur. Ini menunjukkan bahawa zat yang terkandung ialah zat besi. Para pengamal selalunya mengambil bahagian akar pokok kerana ketiga jenis zat dan peratus zat pada bahagian akar lebih banyak kerana akar adalah bahagian yang tertanam di dalam tanah. Selain itu, bomoh akan meninggalkan anak pokok yang sederhana besar atau berumur setahun kebawah untuk membesar dan dapat digunakan kelak.

     Manakala sebahagian bomoh mempunyai kaedah tersendiri untuk mencabut akar kayu. Ada bomoh yang menunggu pada hari Isnin, Khamis, atau Jumaat kerana hari-hari tersebut dianggap membawa berkat iaitu mempunyai kaitan dengan Nabi Allah Alias a.s sebagai penjaga tumbuhan. Selain itu, ada pula sebilangan pengamal yang hanya menentukan waktu sama ada waktu pagi mahupun petang. Perkerjaan mencabut juga memerlukan teknik tertentu kerana jika tidak, mungkin akan menyebabkan akar terputus dan sebagainya. Bahagian lain yang mengandungi zat selepas akar ialah batang pokok, dahan, ranting dan seterusnya kulit, buah dan bunga. Mengumpul daun, kulit dan bunga tidaklah sesukar mengumpul akar namun perlu mengikut musim tertentu, iaitu mengikut musim buah dan musim bunga. Bunga pakma (Rafflesia) misalnya dan Bunga Nanas Batu bukan sahaja bergantung kepada musim tetapi juga bergantung kepada rezeki. Kadang-kadang mengumul daun untuk tujuan perubatan juga sukar iaitu selepas musim kering (musim luruh) semasa pokok berdaun lebat.

   Sehubungan dengan itu, bahan tumbuhan ubatan daripada jenis pokok renek, melata dan menjalar sering digunakan sebagai bahan makanan sehari-hari. Antaranya daun inai, akar betik jantan, daun cerita, lengkuas dan bunga raya.
    Menurut Bomoh akar kayu, punca manusia selalu sakit ialah kerana kurang zat dalam badannya. Keadaan tersebut menyebabkan seseorang mengalami lemah-lemah badan. Keadaan tersebut selalunya terjadi kepada penduduk kampung walaupun mereka kelihatan kuat berkerja. Lemah-lemah badan merupakan sejenis keuzuran yang berpunca daripada ketidakpekaan kita terhadap pengambilan jenis zat pada makanan. Kekurangan zat juga boleh menyebabkan kekurangan darah. Menurut Bomoh akar kayu lagi, untuk menyembuhkan sesuatu panyakit memerlukan mereka menggabungkan beberapa jenis zat untuk memberikan kesan yang diingini. Sebagai contoh untuk memecahkan lendir dalam badan perlu menggabungkan tumbuhan seperti kulit Halban, kulit Buah Pala dan kulit Beka(Oroxylum indicum). Tiga zat yang terdapat pada tumbuhan bersesuaian dengan tiga zat yang terdapat pada manusia. Setiap zat mewakili perwatakan dan jenis penyakit yang mungkin dialami oleh seseorang. Berpandukan kepada warna kulit dan jenis penyakit membolehkan pengamal menyediakan ramuan ubatan yang diperlukan. Selain itu, bomoh juga melihat kepada cahaya dalam mata pesakit dan tekana nadi di pergelangan tangan dan kadang-kadang bertanya mengenai simptom daripada pesakit.
2.2.2) Bomoh Kebatinan
    Bomoh kebatinan terdiri daripada pengamal-pengamal yang memberikan tumpuan terhadap penyakit yang disebabkan oleh faktor-faktor spiritual dan merawatnya dengan cara kebatinan disamping cara fizikal dan penggunaan bomoh kebatinan. Pada umumnya ada tiga golongan bomoh kebatinan iaitu bomoh jampi dan doa, seterusnya bomoh sembahyang hajat dan golongan ketiga ialah bomoh roh dan wali.
i)                    Bomoh Jampi dan Doa
    Pengamal jampi dan doa selalunya menggunakan jampi dan doa sebagai kaedah utama untuk mengenalpasti penyakit dan merawatnya. Jampi dan doa terdiri daripada perkataan-perkataan yang diambil daripada Al-Quran, Hadis dan ungkapan orang dahulu kala. Mengikut pengamal jampi melibatkan perkataan yang bertujuan mengerakkan hakikat sesuatu manakala doa pula ialah permohonan dan kepada Allah s.w.t agar perubatan yang dijalankan mendapat kejayaan. Pada umumnya bomoh jampi mengendalikan kes yang berhubung dengan hantu, jin dan syaitan. Ketiga-tiga adalah makhluk ghaib yang menggangu manusia agar mereka lalai daripada mengerjakan perintah Allah s.w.t. Bomoh kebatinan juga mempunyai kemahiran mengendalikan masalah batin yang meliputi kerunsingan, kegelisahan, tidak dapat tidur dan ketakutan. Misalnya seorang bomoh di Alor Setar, Kedah sangat terkenal kerana mampu menundukkan jin, hantu, jembelang sehinggakan beliau digelar ‘Bomoh Puaka’. Menurut beliau seorang pengamal sepertinya perlu mempunyai ilmu kebatinan yang dalam. Orang ramai kurang mempercayai akan kewujudan makhluk ghaib kerana ia tidak boleh dilihat dengan mata kasar. Namun hakikatnya ia wujud dan boleh dilihat sekiranya dipelajari. Untuk mengetahui sebarang penyakit pengamal hanya perlu tahu nama penuh pesakit (nama pesakit dan nama ibu serta ayah pesakit). Hanya menggunakan 7 helai daun sirih, hirisan pinang, semangkuk air, dan kemenyan dibakar beliau akan membacakan jampi ke atas sirih sambil mengacau-ngacau air dalam mangkuk. Di dalam mangkuk itu diletakkan sekeping cermin dan pengamal akan mengetahui penyakit berpandukan pada cermin tersebut. Oleh itu, pengamal jampi dan doa mempunyai pengaruh dalam masyarakat melalui penyembuhan penyakit khususnya melibatkan alam ghaib. Antara contoh nama-nama makhluk halus yang sering diperkatakan di alam melayu ialah Toyol, Jin penumpang, Pocong dan lain-lain.
ii)                  Bomoh sembahyang Hajat
    Bomoh sembahyang hajat merupakan pengamal yang mengkhusus kepada cara-cara mengerjakan sembahyang hajat untuk tujuan umum dan khusus, terutamanya mengubati penyakit tertentu. Pengamal yang bergantung kepada sembahyang hajat mempunyai pengetahuann yang cukup dalam bidang fiqah dan sering pula mengerjakan sembahyang-sembahyang sunat untuk memantapkan diri. Kunci kejayaan kepada pengamal ini ialah hati yang cenderung mentaati Allah s.w.t. Selain itu, mengerjakan sembahyang perlu memenuhi syarat khusyuk agar hajat hati ditunaikan oleh Allah s.w.t. Pada lazimnya pengamal yang mahir dalam peribadatan mempunyai latar belakang agama yang kuat. Haji Salleh bin Ariffin, bomoh yang lama berkecimpung dalam bidang ini dan kini tinggal di Alor Setar yang mendapat pendidikan awal di sebuah sekolah pondok di Kelantan selama tiga tahun. Setelah meningkat dewasa beliau kemudiannya menuntut dengan seorang guru agama yang mahsyur, Haji Shafie yang tinggal d Bandar Baru, Perak.


iii)                Bomoh Roh dan Wali
     Bomoh roh dan wali merupakan pengamal perubatan yang menggunakan roh dan wali semasa mengubati pesakit. Istilah yang mereka gunakan ialah memangil ‘Tok atau Haji’. Perbezaan pengamal ini dengan pengamal jin dan makhluk halus melalui apa yang diistilahkan sebagai ‘menyerap’ ke dalam diri bomoh. Jin dan syaitan ialah makhluk halus yang jahat, manakala wali pula terdiri daripada golongan manusia yang masih hidup tetapi ghaib. Roh pula terdiri daripada daripada roh yang telah meninggal dunia. Semasa pengamal dimasuki oleh sesuatu makhluk ghaib pengamal dianggap tidak lagi wujud kerana tempatnya diambil alih oleh ‘Tok’. Namun apa yang jelas terdapat dua golongan makhluk halus yang mengusai tubuh badan seseorang iaitu makhluk baik dan makhluk jahat. Makhluk jahat akan melakukan perkara yang jahat terutamanya menyebabkan penyakit manakala makhluk baik pula sentiasa melakukan kebaikan kepada manusia seperti mengubati penyakit dan sebagainya.
2.3) Pantang larang menjaga kesihatan.

      Pantang larang adalah larangan atau tegahan terhadap sesuatu perbuatan atau percakapan yang bertujuan mengelak daripada berlaku sesuatu yang buruk. Terdapat dua jenis pantang larang, pertama terdiri daripada larangan-larangan berhubung dengan aspek kekeluargaan, sosial, dan moral. Jenis yang kedua ialah berkaitan dengan kesihatan dan penyakit. Masyarakat Melayu dahulu lebih takut terhadap pantang larang jika dibandingkan masyarakat sekarang kerana beranggapan bahawa pantang larang berlaku semasa seorang menjalani perubatan.

            Pantang larang kepada wanita secara totalnya merujuk kepada penjagaan kesihatan. Sebagai contohnya larangan yang perlu dipatuhi selama 40 hari setelah melahirkan anak agar keupayaannya untuk sembuh akan bertambah. Selain itu, seseorang yang berkudis dilarang untuk makan makanan yang ‘gatal’ seperti udang, ketam, kerang, sotong, ikan kembung kerana bahan-bahan ini mengandungi elemen ‘bisa’ yang boleh menyebabkan individu merasa terlalu gatal hingga boleh mencederakan bahagian yang  berkudis kerana kerap menggaru.

     Seterusnya, berpuasa merupakan cara untuk mengawal seseorang daripada makan terlalu banyak dan makan pelbagai jenis makanan sehingga mendatangkan pelbagai penyakit. Menurut falsafah masyarakat Melayu bahawa “makan bila benar-benar lapar dab berhenti sebelum terlalu kenyang” adalah konsep daripada ajaran Islam. Berpuasa dari segi syarak ialah menahan diri daripada makan dan minum dan mengerjakan perkara-perkara yang membatalkan puasa. Oleh itu, salah satu amalan masyarakat melayu dalam usaha menjaga kesihatan ialah dengan berpuasa sama ada puasa wajib(bulan Ramadan) atau puasa sunat.

    Sebagaimana amalan puasa, masyarakat melayu tradisional mementingkan kebersihan makanan dan pakaian untuk mengelakkan mereka menghidap penyakit. Kebersihan yang dikehendaki mempunyai dua jenis iaitu menentukan bahawa setiap makanan dan minuman adalah halal. Masyarakat melayu percaya bahawa sekiranya makanan yang diambil adalah haram ini bermakna darah daging yang ada pada seseorang itu dikatakan sebagai haram. Kebersihan kedua ialah melibatkan bahan makanan yang terdiri daripada haiwan, sayuran dan buah-buahan. Selain itu, kebersihan pakaian juga mempengaruhi kesihatan seseorang. Pakaian perlulah sentiasa dicuci untuk mengelakkan baju berkulat, busuk dan sebagainya. 
    Kesimpulannya, masyarakat Melayu tradisional amat mementingkan pencegahan daripada mengubati. Amalan pantang larang merupakan salah satu cara bomoh untuk mendisiplinkan masyarakat agar sentiasa dalam keadaan sihat.


3) Bahan-bahan dan peralatan yang lazimnya digunakan oleh pengamal.

            3.1) Herba dan Tumbuhan.

Bil.
Nama Tempatan
Nama Saintifik
Kegunaan
Bahagian Tumbuhan
1
Amin buah/Dukung anak
Phyllanthus niruri
Penyakit keputihan
Pokok
2
Ara lampong
Ficus obpyramanidata
Barah
Pucuk
3
Ara tanah
Euphorbia hirta
Cirit-birit
Pokok
4
Ara songsang
Asystasia coromandeliana
Demam
Akar
5
Bunga kertas
Buginvillaea
Pitam
Daun
6
Belimbing besi
Averrhoe carambola
Darah Tinggi
Buah
7
Gajah beranak
Goniothalamus macrophyllus
Penjarang Anak Sihat Wanita
Batang
8
Gelanggang besar
Cassia Alata
Penyakit Kulit
Akar dan Daun
9
Halban
Vitex pubescens
Memecah Lendir
Kulit
10
Jenjung
Dracaena congesta
Darah Tinggi
Akar
11
Kancing baju merah
Corcorus capsulris
Sihat Lelaki;
Sakit Pinggang
Pokok
12
Kacang keridik
Archyranthes aspera
Demam tak Kebah (sembuh)
Akar
13
Kacip Fatimah
Labisia Pothoina
Pulih kesihatan wanita selepas bersalin
Pokok
14
Kecubung
Datura Fastuosal
Cacing
Daun
15
Keduduk Merah
Melastoma Manarthicum
Kayap
Akar
16
Kunyit Merah
Curcuma sp
Lumpuh
Ubi
17
Keriang
Arcytaca vahlii
Kencing Manis
Akar
18
Laka
Dalbexgia perviflora
Kencing Manis
Daun / Batang
19
Mahogani
Mahogany
Kencing Manis
Buah
20
Mata Pelandok
Ardisia crispa A.D.C
Sakit Tekak dan Sakit Dada
Akar / Daun
21
Melada Pahit
Bruecea Javanica
Demam
Akar
22
Mengkula
Mimosops elengi Linn
Kesihatan Wanita
Akar
23
Mengkunyit
Cosairum blumenum
Karang Batu
Akar
24
Misai Kucing
Othosiphon grandiflorus
Kencing Manis
Daun
25
Pokok Ati-ati
Coleus blumei benth
Haid Tidak Berhenti
Akar
26
Pokok Jerun
Sida rhomnifolia linn
Penyakit Karang /
Buah Pinggang
Daun
27
Pokok Biak/ketom
Mithragyna speciosa
Hilangkan ketagihan dadah
Daun
28
Rancang Besi
Smilax calophyla
Sihat lelaki
Rizom
29
Serapat
Hippocratea indica
Pulih kesihatan wanita selepas bersalin
Pokok
30
Seruntun Putar Wali
Leniggagathis longifolia
Darah Tinggi
Akar
31
Selasih Putih
Ocimum Basillian
Batuk
Daun
32
Tongkat Ali
Eurycoma longifolia
Kencing Manis /
Demam Kepialu
Akar
33
Tepus Sehelai Setahun
Gastrochilus sp
Burut
Akar
34
Ubi Ara
Diocorea hispida
Ubat Jerawat
Ubi



3.2) Keperluan lain.

·         Daun sirih  

·         Mangkuk

·         Kemenyan

·         Air

·         Cermin

·         Pinang

·         Gambir

·         Kapur

No comments:

Post a Comment