Pengenalan
Perkembangan bahasa Melayu di negara kita selaras dengan kemajuan yang dicapai oleh masyarakat Malaysia iaitu masyarakat penuturnya. Bahasa Melayu merupakan bahasa yang digunakan untuk mengungkapkan pelbagai konsep yang berkaitan dalam urusan rasmi yang mewakili kehidupan moden masa kini. Bahasa Melayu digunakan dengan meluas antaranya dalam bidang pentadbiran, pengurusan, undang-undang, ekonomi dan politik.
Selain itu, bahasa Melayu berfungsi sebagai bahasa kebangsaan sebagaimana yang termaktub dalam perkara 152(1) perlembagaan Malaysia yang memperuntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi. Bahasa kebangsaan merupakan lambang identiti dan kedaulatan negara serta berfungsi untuk menyatukan rakyat berbilang kaum misalnya kaum Cina, kaum India, kaum Dusun, kaum Iban di Sabah dan Sarawak..
Oleh itu, kerajaan telah menubuhkan satu jabatan untuk memperkasakan bahasa Melayu iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ditubuhkan pada 22 Jun 1956 sebagai sebuah jabatan dalam Kementarian Pelajaran. Ketika awal penubuhannya badan berkanun ini dikenali sebagai Balai Pustaka namun disebabkan perkembangan idologi dan media cetak pada masa itu memberi peluang kepada Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ketiga untuk mencadangkan agar namanya di tukar kepada Dewan Bahasa dan Pustaka. Fungsi utama Dewan Bahasa dan Pustaka ialah memajukan bahasa Melayu. Antara peranan penting Dewan Bahasa dan Pustaka pada era penubuhannya ialah memperkaya bahasa kebangsaan, memajukan bakat kesusasteraan, mencetak atau menerbitkan buku-buku, risalah serta menyeragamkan ejaan dan bunyi sebutan serta menggubal istilah-istilah yang sesuai dalam bahasa kebangsaan seterusnya menerbitkan sebuah kamus bahasa kebangsaan.
Sehubungan dengan itu, pelbagai usaha yang dilakukan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka untuk mendidik masyarakat di negara ini untuk menggunakan bahasa Melayu dengan betul dan menyemai rasa mencintai bahasa Melayu. Misalnya kempen ‘Cintailah Bahasa Kita’, ‘Bahasa Jiwa Bangsa’, dan yang terbaharu ialah ‘Bahasa melambangkan Bangsa’. Selain itu, usaha yang dilakukan untuk membina keyakinan bahawa bahasa Melayu mampu menjadi bahasa rasmi ialah dengan mengiatkan program kebahasaan iaitu Minggu Bahasa dan Bulan Bahasa di semua peringkat bermula dengan peringkat Sekolah Rendah, Sekolah Menengah, seterusnya di peringkat Universiti dan Institut Pengajian Tinggi Swasta. Manakala untuk masyarakat umum pula diadakan sambutan di peringkat Kampung, Daerah, Negeri dan kemudiannya di peringkat Kebangsaan.
‘Melantur buluh biarlah dari rebungnya’ adalah sebuah peribahasa Melayu yang sesuai untuk menggambarkan usaha mapan Dewan Bahasa dan Pustaka kerana bertungkus-lumus memperkasakan bahasa Melayu sejak dari peringkat awal persekolahan. Melalui Dasar Pendidikan, kerajaan telah mewartakan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di semua peringkat persekolahan. Selain itu, bahasa Melayu juga berfungsi sebagai bahasa ilmu dalam pelbagai disiplin ilmu antaranya bidang bahasa, geografi, sains, agama, terutamanya di peringkat pra-persekolahan, Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah. Namun demikian, pelbagai pihak telah menyuarakan kebimbangan dan kerisauan tentang penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar dan pemuda-pemudi sekarang. Isu penggunaan bahasa pasar, bahasa ‘SMS’ iaitu menyingkatkan perkataan dan banyak lagi menyumbang kepada pencemaran bahasa. Kerana ‘apabila kita ingin melihat pemimpin pada masa depan, lihatlah kepada pemuda dan pemudi sekarang’. Kebimbangan tersebut bukan hanya dapat dilihat di peringkat sekolah rendah dan sekolah menengah tetapi juga dikesan dalam kalangan mahasiswa. Amat mengecewakan malah banyak pihak mengetengahkan beberapa isu yang berkaitan dengan pencemaran bahasa iaitu apakah sebab terjadinya pencemaran bahasa dalam kalangan mahasiswa dan apakah pula kesannya terhadap barisan kepimpinan negara pada masa akan datang.
Kesimpulannya, bahasa Melayu merupakan bahasa yang istimewa kerana mempunyai fungsi dalam pelbagai bidang namun kemaraan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama dunia. Maka benarlah sepertimana kaajian Awang Sariyan (1980) yang menunjukkan bahawa penggunaan Bahasa Melayu dalam penulisan, banyak kesalahannya daripada masalah kesalahan ejaan, perbendaharaan, sebutan hinggalah kepada masalah kesalahan morpologi – sintaksis yang dinamakan sebagai ‘Kesalahan Umum Penggunaan Bahasa Melayu’. Manakala Nik Safiah Karim (1980) telah menamakan kesalahan umum penggunaan Bahasa Melayu di kalangan anggota masyarakat Malaysia, khasnya di kalangan para pelajar sebagai masalah ‘pencemaran bahasa’ yang harus dibersihkan melalui cara pengajaran yang berkesan. Kegagalan menguasai aspek-aspek ini perlu ditangani demi menyahut cabaran untuk melahirkan pelajar yang mampu berkomunikasi dalam bahasa kebangsaan Malaysia dengan baik.
Oleh itu, tumpuan perbincangan kertas kerja ini berfokus kepada punca-punca berlakunya pencemaran bahasa Melayu dalam kalangan pelajar sekolah. Perkara pertama yang akan dihuraikan ialah perkembangan teknologi seperti penciptaan telefon bimbit yang mewujudkan penyingkatan perkataan atau dikenali sebagai bahasa ‘SMS’. Seterusnya pengaruh media massa khususnya filem dan drama Melayu yang menggunakan bahasa Melayu yang tidak betul malah dicampur aduk pula dengan bahasa Inggeris dan bahasa basahan.
Seterusnya, kertas kerja ini juga akan menghuraikan dengan terperinci berkaitan dengan kesan-kesan berlakunya masalah pencemaran bahasa dalam kalangan pelajar sekolah. Dalam konteks perbincangan akan tertumpu kepada fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi akan tergugat. Selain itu, aspek lain yang akan dibincangkan ialah pelajar tidak dapat mengusai sistem penulisan dan sistem pertuturan dalam bahasa Melayu dengan betul kerana keliru dengan tindakan pihak tertentu yang menggunakan bahasa rojak. Sehubungan dengan itu, pencemaran bahasa menyebabkan pelajar sekolah akan mengagung-agungkan bahasa asing terutamanya bahasa Inggeris dalam pertuturan seharian.
Pencemaran bahasa merujuk kepada penggunaan bahasa yang menyimpang daripada norma penggunaan sebenar bahasa tersebut dalam masyarakat penuturnya. Antara ciri pencemaran bahasa adalah mengutamakan bahasa asing, tidak menggunakan bahasa yang tidak menepati tatabahasa dan juga laras bahasa yang telah ditetapkan. Pencemaran bahasa yang tidak digunakan menjadi tidak seragam iaitu tidak standard. Penggunaan tatabahasa dalam sesuatu bahasa sememangnya amat penting agar jati diri bahasa tersebut dapat dipelihara, misalnya penggunaan bahasa Melayu sekarang yang banyak mengalami fenomena pencemaran bahasa akibat faktor luaran seperti bahasa rojak, bahasa slanga, bahasa asing dan bahasa pijan. Kesannya bahas Melayu semakin kurang fungsinya dari segi pendidikan, pentadbiran dan urusan rasmi.
Punca utama yang menyebabkan berlakunya pencemaran bahasa ini ialah perkembangan globalisasi. Menurut kamus dewan, globalisasi didefinisikan sebagai fenomena yang menjadikan dunia kelihatan mengecil daripada segi perhubungan manusia disebabkan kepantasan perkembangan teknologi maklumat. Era globalisasi ini mula berkembang di seluruh pelusuk dunia. Perkembangan ini membawa kepada kesan negatif yang diperoleh melalui perkembangan ini tidak dapat dinafikan. Bahasa Melayu juga tidak ketinggalan dalam menerima kesan negatif akibat daripada perkembangan globalisasi ini. Hal ini kerana perkembangan kepada penggunaan telefon bimbit secara berleluasa dan ini akamembawa kepada penghantara sistem pesanan ringkas(SMS). Sistem pesanan ringkas merupakan alat yang menjadi penghubung antara dua individu dengan kaedah yang menjimatkan namun mengundang kepada pencemaran bahasa yang serius. Pencemaran bahasa melalui penggunaan sistem pesanan ringkas.
Penggunaan symbol, kod dan perkataan singkatan sering berlaku dalam sistem pesanan ringkas yang bertujuan untuk menggantikan maksud sebenar. Hal ini berlaku kerana ruang yang disediakan cukup terhad. Kadang-kala pengguna telefon bimbit manyatakan mereka berasa susah dan rumit untuk menuliskan perkataan penuh kerana perlu menekan butang perkataan yang banyak. Selain itu, ayat yang ditulis bercampur aduk antara bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, bergantunk kepada perkataan mana yang lebih pendek supaya maksud yang hendk disampaikan difahami oleh penerimanya dalam ruang terhad tersebut. Contohnya “Nxt week I nak jmpa ngan u bleh x?”. Bahasa SMS ini terbawa-bawa kepada penggunaan rasmi seperti karangan, surat rasmi dan memo di sekolah.
Selain itu, media massa juga merupakan salah satu punca yang menyababkan pencemaran bahasa ini berlaku secara berleluasa pada masa kini. Bahasa yang digunakan oleh radio, televisyen, akhbar dan media cetak yang lain sering kali menajadi ikutan pengguna bahasa. Contohnya drama, filem, sketsa, saluran siaran langsung, artikel dan sebagainya kebanyakannya menggunakan bahasa rojak iaitu percampuran antara bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris mahupun bahasa-bahasa yang lain. Di samping itu, penulisan buku hiburan yang berbentuk komik menyebabkan pelajar sekolah yang merupakan penggemar buku hiburan seperti komik ‘Ujang’, ‘Gila-gila’ dan ‘Apo?’ akan menyebabkan pencemaran bahasa yang kritikal. Komik-komik ini keseluruhannya menggunakan bahasa bahasan, bahasa rojak, bahasa slanga dan bahasa asing. Kesannya pelajar sekolah yang mambaca komik-komik seperti yang disebut terbawa-bawa akan laras bahasa serta tulisan terutamanya dalam percakapan rasmi dan penulisan rasmi yang digunakan oleh penulis.
Pencemaran bahasa yang berlaku di sekolah akan menyebabkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi tergugat. Dasar pendidikan negara yang memperuntukkan bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan bahasa ilmu membolehkan bahasa Melayu dimartabatkan. Namun penggunaan bahasa pasar dan bahasa bahasan menyebabkan fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar terpinggir kerana pelajar lebih gemar menggunakan bahasa yang selesa mereka gunakan. Selain itu penggunaan bahasa rojak dan seperti percampuran bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris dalam pertuturan seharian dianggap sebagai satu standard yang tinggi delam kalangan masyarakat. Tambahan lagi, bahasa Inggeris merupakan bahasa ekonomi dan bahasa pendidikan di peringkat antarabangsa. Oleh itu, kerajaan telah melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik (PPSMI) dalam bahasa Inggeris. Pelaksanaan ini meyebabkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah tergugat kerana bahasa pengantar yang akan digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran baralih kepada bahasa Inggeris sepenuhnya. Pelaksanaa ini merupakan sesuatu yang bertentangan dengan bahasa Kebangsaan dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa Ilmu dan bahasa pengantar di sekolah. Kesannya pada masa akan datang apabila pelajar berkenaan telah meningkat dewasa dan masih menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pertuturan seharian menyebabkan bahasa Melayu terpinggir dan tidak mustahil akan hilang penuturnya suatu hari nanti. Maka bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dikatakan sudah tidak relevan lagi sebagai bahasa rasmi dan bahasa Kebangsaan.
Pencemaran bahasa Melayu khususnya dalam pertuturan seharian akan menyebabkan pelajar tidak dapat mengusai sistem penulisan dan sistem perteturan dalam bahasa Melayu dengan betul. Oleh itu, mutu penulisan dan pertuturan bahasa Melayu baka akan merosot. Hal demikian kerana sekiranya penggunaan bahasa rojak dan istilah-istilah remaja tidak dibendung dengan dengan meluas dan konstruktif, lama kelamaan bahasa tersebut akan sebati kepada seseorang. Pastinya pelajar yang sering disogok dengan perkataan dan istilah yang muncul setiap hari akan tetap menggunakannya walaupun dia mengetahuinya salah dari segi sistem bahasa Melayu yang betul.
Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya pelajar sekolah sering menggunakan bahasa perbualan dan bahasa basahan dalam penulisan sama ada untuk menyiapkan kerja rumah mahupun menjawab peperiksaan. Perkara ini bukan sahaja aka menyebabkan kualiti penulisan du sekolah akan merosot malah pengetahuan tentang bahasa kita sendiri akan semakin jauh daripada pelajar. Sekiranya terjadi perkara tersebut maka mutu kualiti bahasa dalam kalangan pelajar pastinya akan menurun dan tidak mustahil sekiranya terdapat sekumpulan pelajar yang masih tidak mengenal antara pantun dan syair.
Pencemaran bahasa ini akan menyebabkan pelajar sekolah akan mengagung-agungkan bahasa asing terutamanya bahasa Inggeris dan berasa malu untuk bertutur dalam bahasa Melayu. Hal ini demikian kerana bahasa Inggeris kini memonopoli semua urusan dalam bidang utama seharian. Sebagai contoh dalam bidang komunikasi dan penyiaran, pendidikan, laman sesawang internet yang pada amnya menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Tambahan pula pengenalan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris menyebabkan pelajar sekolah lebih gemar menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar sama ada di sekolah mahupun luar sekolah. Oleh kerana terlalu mengagungkan bahasa Inggeris, mereka akan beranggapan bahawa orang lain akan memandang tinggi terhadap mereka sekiranya menggunakan bahasa Inggeris.
Maka tidak hairanlah sekiranya golongan masyarakat seperti Mahasiswa, pihak pentadbiran malah pemimpin negara lebih suka bertutur menggunakan bahasa Inggeris di khalayak ramai. Kesannya ramai para ibu bapa pada masa ini lebih suka mengajar anak-anak mereka bertutur dalam bahasa Inggeris sehingga melupakan bahasa ibunda iaitu bahasa Melayu. Ibu bapa yang telah bertekad supaya anak-anak mereka mengusai bahasa Inggeris sanggup untuk membelanjakan wang semata-mata untuk menghantar anak mereka ke kelas tuisyen bahasa Inggeris. Hal tersebut akan meletakkan bahasa Inggeris bukan lagi sebagai bahasa kedua tetapi mengatasi bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangasaan dan bahasa rasmi di negara kita.
Bahasa Melayu kian dilupakan dan semakin kurang penggunaannya dalam pertuturan seharian. Pada masa ini, bahasa Melayu telah tercemar disebabkan oleh wujudnya bahasa lain dan pencampuran bahasa. bahasa Melayu yang indah kian dilupakan oleh generasi-generasi pada zaman ini, khususnya generasi muda. Mereka telah terpengaruh dengan bahasa asing. Dengan menggunakan bahasa asing, mereka berfikir mereka adalah orang yang paling terkenal dan mempunyai kedudukan yang tinggi. Mereka juga beranggapan bahawa mereka akan sentiasa dipandang tinggi kerana mempunyai pengetahuan bertutur dalam bahasa asing. Tanpa mereka sedari, tindakan mereka ini akan menyebabkan mereka kian lupa dengan satu bahasa yang sangat penting, iaitu bahasa Melayu.
Begitu juga pencemaran bahasa ini akan menyebabkan kekeliruan bahasa kepada generasi akan datang. Apabila bahasa tercemar maka ini akan menimbulkan kekeliruan kepada generasi akan datang untuk mempelajari sesuatu bahasa tersebut. Generasi akan datang akan terkeliru untuk memperaktikkan bahasa yang sesuai diguna pakai dalam kehidupan seharian. Selain itu, jika generasi akan datang mengikut trend yang ada pada masa sekarang sudah tentu bahasa tersebut akan menjadi sejarah pada suatu hari nanti kerana telah hilang identiti bahasa tersebut.
Bahasa melayu merupakan bahasa Kebangsaan yang melambangkan identiti bangsa Malaysia. Namun kini bahasa Melayu yang pernah tersohor sebagai lingua Franca atau lebih mudah sebagai bahasa pengantar dalam aktiviti perdagangan di Melaka suatu ketika dahulu semakin kehilangan tempatnya di negara sendiri. Barat juga pernah mengiktiraf bahasa Melayu sebagai antara bahasa terpenting di dunia selepas bahasa Inggeris, bahasa Arab dan bahasa yang lain. Namun demikian, bahasa Melayu semakin terkubur dek pencemaran bahasa yang berlaku kini malah bahasa Melayu sudah semakin hilang identitinya sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, dan bahasa ilmu di negara kita.
Faktor utama yang menyebabkan bahasa Melayu semakin terpinggir adalah disebabkan pencemaran bahasa yang semakin sukar untuk dibendung terutamanya di peringkat sekolah rendah dan menengah. Dasar pendidikan negara yang menetapkan bahawa bahasa pengantar utama di sekolah ialah bahasa Melayu sepatutnya diterima umum tanpa menyelitkan bahasa lain seperti bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar bagi sesuatu subjek. Pengenalan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar bagi subjek sains dan Matematik merupakan tamparan hebat kepada bahasa Melayu kerana hal tersebut bermakna bahasa Melayu tidak diiktiraf sebagai bahasa ilmu. Kesannya pelajar semakin menunjukkan sikap memingirkan bahasa Melayu dan mengagungkan bahasa Inggeris. Maka tidak hairanlah ada segelintir pelajar Melayu yang tidak fasih berbahasa Melayu malah sering menggunakan istilah rojak sama ada dalam pertuturan seharian mahupun urusan rasmi.
Disamping itu, sikap bangsa Melayu itu sendiri yang menjunjung tinggi akan bahasa Inggeris dalam urusan rasmi terutamanya pemimpin, penjawat awam mahupun swasta malah ikon-ikon masyarakat seperti penyanyi dan pelakon. Mereka sering menggunakan bahasa rojak iaitu mencampur aduk bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris dan bahasa asing yang lain. Berikutan sikap mereka maka orang ramai golongan masyarakat terutamanya pelajar sekolah terpengaruh dan keliru dalam penggunaan bahasa Melayu yang tidak betul.
Pelbagai langkah yang telah diambil oleh Dewan Bahasa dan Pustaka untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dalam semua disiplin ilmu dengan memperkaya istilah dan kosa kata. DBP juga mengambil langkah proaktif dengan dengan menerbitkan kamus yang berkaitan dengan sains dan matematik antaranya adalah seperti kamus biologi, kamus kejuruteraan dan kamus komputer. Oleh itu, harapan semua pihak agar bahasa Melayu dapat dikembalikan martabatnya dan dijulang sebagai bahasa ilmu yang setanding dengan bahasa-bahasa lain di dunia. Hal ini kerana kehebatan bahasa itu bukan berdasarkan kepada tarafnya tetapi yang menentukannya ialah penutur bahasa itu sendiri.
Pada masa yang sama langkah-langkah untuk memartabatkan bahasa Melayu perlu diambil oleh pihak kerajaan, badan-badan swasta dan masyarakat umumnya. Kita tidak bolah bergantung sepenuhnya kepada peranan dan fungsi Dewan Bahasa dan Pustaka sahaja. Hal demikian kerana pihak kerajaan dan swasta merupakan pengguna bahasa Melayu yang akan menentukan sama ada menggunakan rojak atau sebaliknya bahasa Melayu yang betul. Oleh itu, tinggi atau rendah martabat sesebuah bahasa itu bukanlah ditentukan oleh namanya tetapi ia bergantung kepada penuturnya. Sekiranya pihak-pihak yang berwajib menjalankan tanggungjawab dengan penuh teliti dan kerap, tidak mustahir bahasa kita akan menjadi bahasa antarabangsa yang berada di tahap terpenting khususnya dalam bidang pendidikan. Pihak yang mempunyai kuasa besar seperti Perdana Menteri harus sentiasa menekankan penggunaan bahasa kebangsaan kita setiap masa sama ada dalam ucapan rasminya mahupun semasa ditemu bual oleh wartawan. Tuntasnya sedikit demi sedikit apabila beliau kerap menggunakan bahasa kebangsaan, ini akan menjadi ikutan kepada orang bawahannya serta masyarakat dan pemuda serta pemudi yang akan mewarisi kepimpinan negara ini.
Pelbagai langkah yang telah diambil oleh Dewan Bahasa dan Pustaka untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dalam semua disiplin ilmu dengan memperkaya istilah dan kosa kata. DBP juga mengambil langkah proaktif dengan dengan menerbitkan kamus yang berkaitan dengan sains dan matematik antaranya adalah seperti kamus biologi, kamus kejuruteraan dan kamus komputer. Oleh itu, harapan semua pihak agar bahasa Melayu dapat dikembalikan martabatnya dan dijulang sebagai bahasa ilmu yang setanding dengan bahasa-bahasa lain di dunia. Hal ini kerana kehebatan bahasa itu bukan berdasarkan kepada tarafnya tetapi yang menentukannya ialah penutur bahasa itu sendiri.
Pada masa yang sama langkah-langkah untuk memartabatkan bahasa Melayu perlu diambil oleh pihak kerajaan, badan-badan swasta dan masyarakat umumnya. Kita tidak bolah bergantung sepenuhnya kepada peranan dan fungsi Dewan Bahasa dan Pustaka sahaja. Hal demikian kerana pihak kerajaan dan swasta merupakan pengguna bahasa Melayu yang akan menentukan sama ada menggunakan rojak atau sebaliknya bahasa Melayu yang betul. Oleh itu, tinggi atau rendah martabat sesebuah bahasa itu bukanlah ditentukan oleh namanya tetapi ia bergantung kepada penuturnya. Sekiranya pihak-pihak yang berwajib menjalankan tanggungjawab dengan penuh teliti dan kerap, tidak mustahir bahasa kita akan menjadi bahasa antarabangsa yang berada di tahap terpenting khususnya dalam bidang pendidikan. Pihak yang mempunyai kuasa besar seperti Perdana Menteri harus sentiasa menekankan penggunaan bahasa kebangsaan kita setiap masa sama ada dalam ucapan rasminya mahupun semasa ditemu bual oleh wartawan. Tuntasnya sedikit demi sedikit apabila beliau kerap menggunakan bahasa kebangsaan, ini akan menjadi ikutan kepada orang bawahannya serta masyarakat dan pemuda serta pemudi yang akan mewarisi kepimpinan negara ini.
No comments:
Post a Comment