Wednesday, 28 May 2014

Pason di Aki



 APABILA engkau sudah dewasa esok kesayanganku, jangan lupa siapa yang telah melahirkanmu, siapa yang telah membesarkanmu, siapa yang telah membanting tulang mengisi perutmu. Sayangku, dengarkan pesananku ini, jagalah keindahan bangsa kita, melalui bahasa kita, melalui budaya kehidupan kita dan melalui perpaduan bangsa kita. Ingatlah, kita berasal daripada satu tempat yang sama, dari Pomogunan Nunuk Ragang. Suatu haru nanti apabila engkau telah mengerti akan makna kehidupan ini, berpegang teguh pada nasihatku.”

Kerinduanku pada tanah kelahiranku itu sangat kurasai apatah lagi berada di perantauan. Bumi Malaya ini Aku jejaki sejak setahun tahun lalu kerana tanggungjawabku sebagai seorang pelajar. Perjuangan ini perlu Aku tempuhi dek kerana ingin memajukan diri, menimba seberapa banyak ilmu dan pengetahuan agar penuh didada. Kerana Aku menyedari hanya dengan pendidikan yang berguna saja Aku mampu membela nasibku dan masa depanku.
Sememangnya  cabaran ini terlalu berat buatku, namun kecekalan hatiku membuatkan Aku terus kuat mengharung segala perit getir kehidupan di tempat orang. Ijazah sarjana muda yang ingin Aku capai ini bukanlah mudah untuk direalisasikan, namun bukan mustahil untuk Aku lakukannya.
Borneo Utara, tanah tumpah darahku, tanah kelahiran dan mungkin tanah kuburku kelak. Tanah Subur yang dikelilingi tiga buah lautan luas memberikan sempadan mutlak kepadanya. Laut China Selatan di sebelah barat, Laut Sulu di sebelah utara dan Laut Sulawesi di bahagian timur. Sebuah tempat yang mempunyai keunikan dan keistimewaan tersendiri. Dari aspek kaum sahaja, Sabah memiliki 30 kumpulan etnik dengan lebih kurang 80 dielek dan bahasa setempat yang dimiliki oleh penduduk bumiputera. Sebuah tempat bagi diriku dan bangsaku berkembang maju, melebarkan pengaruh kebudayaan dan kesenian.
Bangsa Kadazan-Dusun dikenali sebagai kaum yang paling ramai menghuni perbatasan negeri di bawah bayu ini. Tiga per empat daripada penduduk tempatan Sabah, bangsa Kadazan-Dusun mempunyai lebih kurang 40 subetnik yang dibezakan berdasarkan budaya setempat, dielek, dan geografi.
Terkenang akan tempat kelahiranku, sememangnya Aku pasti terimbau seraut wajah yang aku kagumi. Darah dagingnya yang mengalir ditubuhku bagaikan membara bila saja Aku teringat padanya. Nasihatnya banyak memberikan Aku sumber aspirasi dan kekuatan. Setiap kata-katanya menusuk kekal di ingatanku. Peranannya sebagai ketua masyarakat yang memperjuangkan adat resam membuatkan dia kujadikan sebagai idola. Aki merupakan insan yang telah membentuk jati diriku. Menjadi seorang yang berpegang teguh pada bangsa dan darah keturunan.       
“Bangsa Kadazan-Dusun perlu maju ke hadapan sebaris dengan bangsa-bangsa lain. Aku berdoa suatu hari nanti bangsa Kadazan-Dusun juga mampu menjadi pemimpin yang dihormati, mampu menjadi bangsa yang maju, serta menjadi bangsa yang disegani dan dikenali semua.”
            Aki merupakan seorang pemimpin yang disegani, jati dirinya yang kental membuatkan dirinya dikenali sebagai pembela masyarakat Dusun di kawasanku. Sebagai ketua adat beliau merupakan sumber rujukan. Tidak hairanlah beliau sering dikunjungi oleh individu yang mempunyai masalah berkenaan dengan masalah peribadi, masalah kekeluargaan, masalah kemasyarakatan, hal ehwal hak milik dan sebagainya.
Aku masih ingat peristiwa dua orang remaja bergaduh sehingga menyebabkan kecederaan serius. Seorang remaja lelaki memukul dengan sengaja seorang remaja lelaki yang lebih muda daripadanya akibat tidak puas hati. Remaja yang lebih muda tersebut telah mempersendakan remaja yang lebih tua itu dengan mengatakan bahawa dia penakut dan pengecut. Lantas remaja yang lebih tua tersebut mencapai sebatang kayu api dan memukul bahagian kepala remaja muda itu. Ibu bapa kepada remaja yang dipukul telah melaporkan kepada Aki. Aki menyelesaikan pertelingkahan itu berdasarkan adat Kadazan-Dusun yang sekian lama diamalkan oleh masyarakat.
Kedua-dua remaja itu dikenakan ‘sogit’  yang bertujuan untuk memberi pengajaran kepada mereka supaya tidak mengulangi perbuatan jahat sedemikian. Akhirnya remaja yang telah memukul itu diarahkan untuk memberikan seekor kambing kepada remaja muda manakala remaja muda perlu memberikan dua ekor ayam sebagai ‘sogit’ kerana mencetuskan pertelingkahan.
Begitulah caranya masyarakat Kadazan-Dusun menjalani kehidupan seharian. Kehidupan bermasyarakat sememangnya penting untuk menjaga kemakmuran setempat. Setiap kali perayaan Kaamatan tiba, Aki sentiasa mengingatkan bahawa masyarakat perlu mengamalkan nilai-nilai murni supaya kehidupan sentiasa aman dan sentosa. Nilai-nilai tersebut juga akan menyebabkan bangsa Kadazan-Dusun akan terus maju ke hadapan. Aku masih ingat akan ucapan Aki yang mengetengahkan beberapa disiplin asas untuk mengecapi keharmonian.
            “Wahai saudara dan saudari, wahai ibu dan ayah yang baik, wahai muda-mudi yang esok akan menjadi dewasa. Selagi kita mengamalkan nilai-nilai ini, kita akan terus mengecapi kemakmuran. Percayalah bahawa sikap bersatu-padu dan tolong-menolong, kerana nilai ini akan menguatkan tali persaudaraan, menyemarakkan semangat keakraban antara kita. Percayalah bahawa nilai bertimbang-rasa dan lemah lembut akan membangkitkan kekuatan yang luar biasa dalam keakraban yang kita bina. Percayalah kepadaku sifat penyayang dan suka mengambil tahu akan ahli masyarakat akan meneguhkan dinding kekitaan, menghindari anasir kejahatan dan kebencian. Ingatlah bahawa apabila kita bersikap rajin dan berjimat-cermat, kita akan dapat menghadapi kehidupan ini dengan penuh penghormatan. Setiap ahli masyarakat akan mudah menghulurkan bantuan, memberikan bimbingan dan tunjuk ajar. Ingatlah bahawa apabila kita mempunyai sikap sopan santun dan budi pekerti yang luhur, setiap orang akan menyayangi dan menyanjungi anda. Percayalah pada nilai-nilai ini dan ingatlah walau siapapun anda.”
            Wasiat itu, meski telah sekian lama tidak dilaungkan oleh pamimpin Kadazan-Dusun kini, namun masih segar dalam ingatanku. Masih sentiasa terngiang-ngiang pada sudut gegendangku. Alangkah sungguh bermakna nilai kemanusiaan itu kepada Aki.  Sungguh Aku amat merindui Aki.
Sewaktu cuti antara semester lalu, aku sempat mengunjungi sebuah tempat. Tempat yang merupakan titik tolak kepada bermulanya penyebaran bangsa Dusun di serata Borneo sebagaimana yang telah diceritakan oleh Aki . Petempatan ini sememang sudah sekian lama menjadi ‘Identity of Borneo’. Pomogunan Nunuk Ragang yang bermakna Perkampungan Pokok Ara Merah merupakan petempatan awal kaum Kadazan-Dusun sebelum tersebar meluaskan budaya dan sosialnya. 
Menurut Aki Nunuk Ragang ialah sebatang pokok ara yang sangat besar dan tinggi yang terletak di tengah-tengah pertemuan dua sungai. Sungai yang mengalir dari arah kanan dinamakan sebagai Bowang Kawananan manakala sungai yang mengalir dari arah sebelah kiri dinamakan sebagai Bowang Kogibangan. Percantuman antara dua sungai tersebut telah mengalirkan sebatang sungai yang besar yang dinamakan Bawang Liwogu yang bermakna  sungai yang dalam dan tenang. 

Menurut Aki suatu ketika dahulu masyarakat Nunuk Ragang hidup dalam keadaan aman dan damai kerana mengamalkan nilai-nilai murni yang sering dilaung-laungkan oleh Aki sendiri dan pemimpin-pemimpin terdahulu. Menurut Aki lagi, melalui kehidupan yang tenteram itu telah membolehkan mereka menerokai teknologi baru bagi menambah kecekapan dan  memudahkan urusan untuk meningkatkan kesejahteraan hidup. Mereka telah mencipta peralatan pertanian seperti parang (dangol), penampi padi (rilibu), taasok dan lain-lain.
        Aku masih ingat lagi zaman kanak-kanakku. Aku sering bertanya kepada Aki bermacam-macam perkara termasuklah perkara- yang sebenarnya Aku sudah tahu, hanya suka bertanya untuk mencari perluang  bersembang dengan Aki.
“Aki apa nama alat yang Aki pegang?”
“Oh, Ondu ini namanya sopuk, yang bergantung di tepi tu namanya sungul dan kasip”. Jelas Aki menunding jari pada alat yang kelihatan seperti sumpit dan alat menjerat yang lainnya.
Demikianlah pelbagai alat yang dicipta dan dibuat oleh masyarakat Kadazan-Dusun terdahulu. Di samping untuk memudahkan kegiatan seharian, mereka juga telah mencipta peralatan alat-alat muzik misalnya gong (tagung), sompoton, suling, pumpuok, turali dan bungkau. Sememangnya nilai-nilai murni yang diamalkan semenjak nenek moyang dahulu telah menyebabkan bangsa Dusun semakin berkembang dan semakin teguh.
Namun kemajuan yang bermula dengan penerapan nilai-nilai murni itu kini kian luntur akibat petualang politik yang tamakkan harta dan kekayaan. Hanya tahu mengambil kesempatan mengaut keuntungan yang belum tentu dapat menyelamatkannya di akhirat nanti.
“Andai kata Aki masih ada ketika ini dia pasti akan bangun berdiri, lantang bersuara mematahkan idologi-idologi mengarut politik yang melanda bangsa Kadazan-Dusun. Idologi-idologi yang merosakkan perpaduan dan semangat kekitaan antara sesama darah. Sungguh sedih apabila melihat bangsaku sendiri kutuk mengutuk, tunding menunding, tuduh menuduh, salah menyalahkan, serang menyerang antara satu sama lain hanya kerana fahaman politik yang berbeza”
Kerakusan mahu memiliki puncak kuasa yang sirna, pucuk kuasa yang lemah lagi sementara. Hanya memikirkan diri sendiri tanpa tersedar yang dirinya hanya seorang daripada beribu-ribu orang Kadazan-Dusun yang mahu diri mereka dibela dan didekati. Tidak kurang juga yang terlalu taksub dengan etniknya, rasisme yang keterlaluan menjadi jarum dalam selimut pencetus kemarakan api kebencian dan kemarahan, tanpa berfikir bahawa bangsa Kadazan-Dusun itu sedarah walaupun terdiri daripada dielek atau suku kaum iaitu Bundu, Bisaya, Bonggi, Dumpas, Gana, Garo, Idaan, Kimaragang, Kolobuan, Kuijau, Liwan, Labuk, Lingkabau, Lobu, Lotud, Lundayoh,  Makiang, Malapi, Mangkaak, Minokok, Murut, Ngabai, Poitan, Pingas, Rumanau, Rungus, Sinobu, Sinorupu, Sonsongon, Sungai, Sukang, Tagahas, Tatana, Tangara, Tidong, Tindal, Tobilung, Tolonting, Tombunou, Tuhawon dan Tutung.
Mereka mempersendakan bahkan memperkecilkan saudara sedarah mereka, bersikap prejudis kepada dielek yang lainnya, padahal semuanya berasal dari satu tempat yang sama iaitu Pomogunan Nunuk Ragang. Sekiranya Aki masih ada, mereka pasti tidak akan berani memporak-purandakan, apalagi mengoyahkan semangat perpaduan dalam kalangan bangsa Kadazan-Dusun. 

 Bangunlah wahai anak bangsaku, sedarlah wahai pertiwiku, bukalah minda wahai budayawan bangsaku. Sesungguhnya pertalian darah ini amat bermakna kepada kemajuan dan kemakmuran bangsa kita yang tercinta, bangsa Kadazan-Dusun.
Tarian, nyanyian dan simfoni muzik yang diwariskan oleh nenek moyang terdahulu seharusnya dimartabatkan. Kerana dahulunya tradisi pesta menuai merupakan salah satu cara pemimpin Nunuk Ragang menyatupadukan masyarakatnya. Tadau Kaamatan yang kini dirayakan bersempana dengan kesyukuran menuai padi diilhamkan oleh Orang Kaya-Kaya (OKK) Sodomon selaku Ketua Anak Negeri Keningau pada awal tahun 1956. Pesta menuai tersebut sepatutnya menjadi medium utama untuk mengeratkan perpaduan antara masyarakat Kadazan-Dusun.
Kesepian di hujung minggu ini amat menyesakkan nafasku, leherku bagai di jerut tali temali yang enggan berganjak malah semakin kuat. Mahasiswa dan mahasiswi kebanyakan akan pulang ke kampung untuk meleraikan kekusutan fikiran menghadapi betapa hebatnya tekanan bergelar pelajar. Namun Aku hanya dapat melabuhkan kepalaku pada bantal empuk menunggu tibanya hari yang bernama isnin.
Dalam keheningan inilah Aku sering merindui Aki, kadang-kadang mengalirkan bintik-bintik jernih berkilau untuk melepaskan kesayuan. Dan hanya dengan solat Aku mampu meneguhkan harapanku agar dirinya Aki akan sentiasa berada di samping Tuhan Yang Maha Esa, dinaungi dengan rahmat dan berkat. Walaupun setahu Aku, Aki hanya bergelar muslim di akhir-akhir usianya namun sesungguhnya Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Aku Sering doakan agar lafaz syahadah yang diakui Aki membersihkan jiwa dan nuraninya umpama tirai kain putih yang suci murni.
“Aki walaupun kau telah pergi untuk selamanya, darah merah yang mengerakkan setiap sudut tubuhku ini akan tetap membara memperjuangkan bangsa dan keturunan. Meski perjuangan yang Aku pilih mungkin hanya mengumpul dan menyusun keindahan bahasamu. Aku terus perjuangkan dengan hujung pena setiap kata-kata dan pesananmu. Pesananmu terlalu bermakna untukku mengertikan. Kata-kata hikmatmu akanku pegang sehingga akhir hayatku. Menapak pada setiap langkahku, membias pada setiap sudut pandanganku dan disemarakkan dengan setiap hembusan nafasku.
“Selama Aku menjalani kehidupan ini, semakin hari Aku sudah semakin hampir untuk kembali kepada-MU wahai Tuhanku. Jagalah kesihatan dan keselamatan anak-anakku dan setiap darah keturunanku. Berikan mereka kekuatan hati dan semangat yang tinggi mengharungi perjalanan kehidupan ini. Tunjukanlah mereka supaya sentiasa gigih mencari kehidupan yang lebih bermakna. Ajarkan kepada mereka erti bersatu-padu, tolong-menolong dan berkerjasama  mencari kesejahteraan hidup. Tunjukkan Aku jalan yang Engkau redai, bimbinglah kami mencapai kebahagiaan yang kekal.”
Amin ya rabbal alamin. Berlimpahlah keberkatan buat Aki yang rendah hatinya memohon doa kepada Allah S.W.T yang Maha Esa.

No comments:

Post a Comment