Thursday 16 June 2016

MERKURI

Merkuri atau raksa adalah sejenis logam berat. Ianya lebih sukar untuk dijumpai berbanding uranium tetapi lebih banyak berbanding emas. Didalam jadual berkala, merkuri dilabelkan sebagai Hg, singkatan kepada “hydrargyrum” yang bermaksud cecair perak dalam bahasa Latin. Ini kerana, ianya berkilat seperti perak dan dalam keadaan cecair di suhu bilik. Akan tetapi, merkuri juga dikenal sebagai salah satu bahan yang bertoksik kepada manusia. Jadi, jangan sentuh merkuri!
Jika anda pernah melihat termometer zaman sekolah dulu, terdapat sejenis cecair perak didalam bebulinya. Itulah merkuri. Akan tetapi, pada ketika ini atas sebab kesihatan dan keselamatan, termometer yang menggunakan merkuri semakin berkurang dan kini digantikan oleh termometer digital.
DARI MANA DATANGNYA MERKURI?
Merkuri tidak boleh didapati dalam bentuknya sendiri. Ini bermakna, anda tidak boleh mengorek tanah dan menjumpai merkuri yang berkilat itu. Merkuri sebenarnya boleh didapati dalam bentuk batu mineral yang dipanggil sinabar. Batu ini berwarna merah.
Selain itu, merkuri juga boleh didapati hasil daripada aktiviti manusia. Seperti yang disebutkan diatas, merkuri banyak digunakan dalam kehidupan seharian kita. Pembakaran arang batu, perlombongan emas (merkuri digunakan untuk mengekstrak emas tulin), pembakaran sampah, boleh menyebabkan pelepasan merkuri ke udara dan air.
BAHAYANYA MERKURI
Sebagai bahan neurotoksin yang paling kuat pernah diketahui manusia, merkuri boleh menyebabkan kerosakan kekal pada otak. Metilmerkuri, salah satu daripada jenis mekuri merupakan bahan yang paling berbahaya kerana ianya lebih mudah diserap oleh badan kita berbanding dengan lain-lain bentuk merkuri termasuk merkuri tulen. Golongan yang paling bahaya terhadap pendedahan metilmerkuri ini adalah bayi dalam kandungan.
MERKURI DALAM MAKANAN
Tiada siapa yang sengaja meletakkan merkuri dalam makanan. Bakteria telah megubahkan merkuri (terutama dari hasil buangan industri selain semula jadi) kepada metilmerkuri. Malangnya, merkuri tidak boleh diuraikan. Metilmerkuri ini akan masuk kedalam tumbuhan, haiwan dan ikan. Akan tetapi, jumlah metilmerkuri dalam ikan adalah lebih tinggi berbanding tumbuhan dan haiwan darat lain.
Ikan yang kecil akan dimakan oleh ikan yang besar. Disebabkan merkuri tidak boleh diuraikan, jumlah metilmerkuri didalam badan ikan itu akan meningkat. Kandungan dalam pemangsa paling atas dalam rantaian makanan seperti jerung mempunyai beratus kali ganda metilmerkuri dalam ikan kecil yang makan plankton dan rumpai.
Dan ikan inilah yang bakal dimakan oleh kita. Antara kes terkenal mengenai keracunan merkuri sebegini adalah kes di Minamata pada tahun 1930-an hingga 50-an. Punca utamanya adalah pelepasan sisa industri.
MERKURI DALAM VAKSIN DAN UBAT-UBATAN
Merkuri pernah terkandung dalam vaksin. Etilmerkuri, merupakan 50% (secara berat) dalam bahan dinamakan timerosal. Timerosal digunakan sebagai “bahan awet” dalam vaksin dan bertindak mengelakkan pembiakan bakteria jika vaksin itu terdedah. Tidak seperti metilmerkuri, etilmerkuri tidak diserap secara terus dan disingkirkan dari badan dalam masa 3-4 hari.
Walaubagaimanapun, kesan sampingan terhadap etilmerkuri tetap ada terutama bagi mereka yang mempunyai alahan terhadap bahan ini. Tetapi, ianya dalam bentuk kemerahan pada kulit, demam yang sedikit dan beberapa ketidak keselesaan yang biasanya hanya berlaku selama 2-3 hari sahaja.
Akan tetapi, timerosal sudah tidak digunakan dalam vaksin ketika ini. Walaupun bahayanya tidak terbukti, para pengamal farmasi tidak mahu mengambil risiko, dan dengan pembangunan teknologi semasa, timerosal dapat “dibuang” dari ramuan vaksin. Bagaimanapun, timerosal masih digunakan dalam ubatan selsema.
MERKURI DALAM KOSMETIK
Merkuri amat digunakan dengan meluas dalam dunia kosmetik terutamanya dalam krim pemutih kulit. Merkuri dalam bahan kosmetik adalah Merkuri diklorida ataupun merkuri terammonia. Berbanding etilmerkuri dan metilmerkuri, merkuri jenis ini adalah bahan yang aktif.
Merkuri dalam krim pemutih akan bertindak mengganggu penghasilan melanin, satu bahan yang memberi warna “gelap” pada kulit. Dengan gangguan ini, kulit kelihatan lebih cerah. Akan tetapi, salah satu fungsi melanin adalah melindungi kulit daripada sinaran ultraungu atau UV. Sebab itulah kulit orang-orang negara tropika (kawasan yang menerima sinaran matahari termasuk UV paling banyak di bumi) agak gelap.
Apabila kurangnya melanin, kulit akan menjadi lebih sensitif. Kesannya, gatal-gatal, ruam dan lebih teruk, parut.
Malah, bahan aktif ini lebih mudah diserap apabila terdapat luka atau rekahan pada kulit. Memburukkan lagi keadaan, ia sukar untuk disingkirkan berbanding timerosal yang akan diceraikan kepada natrium dan etilmerkuri (ini yang membuatkan timoresal lebih mudah disingkirkan dari bahadan). Dalam jangkamasa panjang, merkuri dalam badan ini akan bertambah (ingat, merkuri tidak boleh diuraikan) dan akhirnya… kerosakan pada otak.
KAWALAN MERKURI
Kebanyakan negara mempunyai kawalan ketat terhadap merkuri dalam kosmetik atas syor dari Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) Amerika. Akan tetapi, penghasilan merkuri daripada penghasilan tenaga dan juga sisa industri masih lagi merupakan cabaran yang besar. Malaysia, walaupun mempunyai petroleum dan empangan-empangan besar, sebenarnya bergantung kepada pembakaran arang batu sebagai sumber utama tenaga.


No comments:

Post a Comment